Selasa, 26 Jun 2018 | 4:46pm
PENGERUSI Eksekutif I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berlatarbelakangkan pembangunan iCity 5 tahun yang akan datang selepas Mesyuarat Agung Tahunan di iCCC Convention Centre, iCity Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Pembangunan hartanah kekal pemacu pendapatan I-Bhd pada 2018

SHAH ALAM: Segmen pembangunan hartanah dijangka kekal penyumbang terbesar kepada pendapatan I-Bhd dalam tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2018.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Eu Hong Chew, berkata selain baki jualan RM250 juta yang belum dibilkan, i-City akan menyaksikan beberapa pelancaran baharu tahun ini membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion.

Beliau berkata, projek itu ialah Plot 4 Central Park dengan GDV RM1 bilion, Plot 2 Central Walk (RM470 juta) dan i-City South (RM500 juta).

"Kami jangka sumbangan segmen pembangunan hartanah pada 2018 adalah baik mengambil kira kerja-kerja pembangunan semasa, baki jualan yang belum dijual di i-City, selain pelancaran baharu," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kumpulan itu di sini, hari ini.

Hong Chew berkata, sungguhpun 2018 kelihatan satu lagi tahun mencabar bagi industri hartanah tempatan, beliau yakin prestasi kumpulan tahun ini akan kekal mampan,

Beliau berkata, pelancaran lain pada tahun ini termasuk kediaman servis dengan anggaran GDV RM560 juta dan pejabat pintar bernilai RM230 juta.

I-Bhd, yang terkenal dengan pembangunan i-City seluas 28.8 hektar di Shah Alam, mencatat pertumbuhan untung bersih 16.6 peratus kepada RM24.49 juta pada suku kewangan pertama berakhir 31 Mac 2018, berbanding RM20.1 juta suku sama tahun sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan berjumlah RM159.349 juta.

Melihat dari segi prestasi segmen, pembangunan hartanah kekal penyumbang terbesar kepada aliran pendapatan kumpulan pada suku dikaji dengan mencatat jumlah RM147.9 juta, mewakili 93 peratus daripada pendapatan kumpulan, manakala segmen riadah menyumbang enam peratus atau RM9.7 juta.

Berita Harian X