Jumaat, 13 Julai 2018 | 2:40pm
KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan, Paramount Corporation Bhd, Jeffrey Chew Sun Teong - Foto Khairul Azhar Ahmad

Wisma Paramount bangunan hijau pertama di Kedah

KUALA LUMPUR: Paramount Corporation Bhd, pemaju hartanah tempatan mengukuhkan lagi pembabitannya dalam hartanah di utara Semenanjung dengan pembukaan Wisma Paramount, bangunan hijau pertama di Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jeffrey Chew, berkata wisma itu yang turut menjadi galeri hartanahnya adalah penanda aras bagi kumpulan membangunkan lebih banyak hartanah di Kedah dan Pulau Pinang.

Chew berkata, wisma yang terletak di Bukit Banyan itu adalah sebahagian daripada pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.1 bilion.

"Tiga fasa dengan GDV bernilai RM624 juta sudah dilancarkan sejak 2012 dan kami masih mempunyai beberapa fasa lagi yang akan dibangunkan sehingga 2025.

"Seiring dengan pengukuhan kami dalam hartanah di utara Semenanjung, adalah komitmen kumpulan memberikan sesuatu kepada komuniti di sini.

"Ia juga membawa kumpulan untuk meneroka pasaran hartanah di Pulau Pinang seperti Paramount Utropolis di Batu Kawan yang menjadi bandar universiti pertama di negeri itu.

"Model ini adalah rentetan daripada kejayaan Paramount Utropolis di Glenmarie, Shah Alam dengan membawa nilai GDV sebanyak RM2 bilion," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bukit Banyan adalah projek hartanah perbandaran ketiganya di Kedah selepas Taman Patani Jaya dan Bandar Laguna Merbok.

Bagi Paramount Utropolis Batu Kawan pula, Chew berkata, ia meliputi kawasan seluas 17.9 hektar dengan pembangunan bercampur yang bakal menempatkan institusi pengajian tinggi Kolej Universiti KDU Penang.

Beliau berkata, projek itu yang bermula pada 2015 dijangka bakal siap sepenuhnya pada tahun 2019.

"Paramount Utropolis Batu Kawan secara tidak langsung menyokong usaha menjadikan Batu Kawan sebagai bandar satelit ketiga dan meningkatkan ekonomi dan gaya hidup setempat.

"Kumpulan yakin mencapai kejayaan berdasarkan kekuatan strategi kami melalui dua cabang perniagaan utama iaitu Paramount Property dan Paramount Education.

"Matlamat kami adalah memberikan pertumbuhan yang konsisten dan mampan dalam jangka masa panjang selain memberikan nilai lebih kepada pelanggan, pemegang saham, rakan perniagaan dan kakitangan," katanya.

Berita Harian X