Isnin, 23 Julai 2018 | 8:52pm

Pemaju Forest City kukuh kedudukan dalam Fortune 500

HONG KONG, SINGAPURA & KUALA LUMPUR: Pemaju projek Forest City di Johor, Country Garden Holdings Co Ltd meningkat 114 anak tangga untuk berada di tempat ke-353 senarai The Fortune Global 500 tahun ini.

Ini menandakan tahun kedua berturut-turut kumpulan pembangunan hartanah itu berada di dalam senarai syarikat terbesar dunia.

Pada 2017, kumpulan menyaksikan pendapatannya melonjak 46 peratus untuk mencecah rekod tertinggi AS$33.6 bilion (RM136.5 bilion).

Country Garden menyertai tujuh lagi syarikat China yang mencatatkan peningkatan terbesar tahun ini termasuk China Energy Investment (meningkat 175 anak tangga), Alibaba (162 anak tangga), dan Tencent (147 anak tangga).

Mengulas mengenai ranking kumpulan, Pengerusi dan Pengasas Country Garden, Yang Guoqiang berkata: "Di Country Garden, saya sentiasa menekankan bahawa kualiti dan pengurusan mantap adalah kehidupan kami. Pencapaian kami hari ini adalah hasil yang diberikan oleh semua 180,000 kakitangan di China dan luar negara terhadap setiap perincian operasi syarikat."

The Fortune Global 500 adalah ranking tahunan yang menyenaraikan pendapatan syarikat-syarikat.

Tahun ini, China mempunyai 120 syarikat di dalam senarai berkenaan, di belakang Amerika Syarikat (AS) dengan 126 syarikat dan di depan Jepun dengan 52 syarikat.

Sejak ditubuhkan pada 1992, Country Garden berkembang daripada sebuah syarikat hartanah kurang dikenali yang bermula dengan projek kediaman di Daerah Shunde, Foshan terletak di wilayah Guandong, menjadi sebuah pemaju hartanah antarabangsa dengan lebih 1,900 projek kediaman seluruh dunia.

Selain Forest City di Iskandar Malaysia, antara projek terkemukanya adalah Ryde Park di Sydney.

Di China, kumpulan mempunyai pembangunan hartanah merentasi lebih 700 bandar raya dan bandar seluruh China.

Dalam tempoh beberapa tahun, kumpulan mengalihkan tumpuannya daripada pembangunan hartanah kediaman di pinggir bandar raya primer dan sekunder China kepada pembangunan kediaman premium di tengah-tengah bandar raya ketiga dan keempat China.

Berita Harian X