Isnin, 23 Julai 2018 | 8:53pm

MAHB akui trafik, sektor pelancongan Sabah meningkat

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memperuntukkan RM17 juta untuk mengalakkan lebih banyak syarikat penerbangan beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah.

Peruntukan itu bertujuan membantu aktiviti pemasaran destinasi yang dijalankan oleh kerajaan negeri Sabah dan syarikat penerbangan untuk mempromosikan lagi laluan baharu, termasuk Wuhan, Guangzhou, Hangzhou, Shenzen, Taipei dan Singapura, menurut pengendali lapangan terbang itu dalam kenyataan hari ini.

MAHB berkata, pada separuh pertama 2018, KKIA mencatatkan pertumbuhan trafik penumpang pada tujuh peratus berbanding tempoh yang sama 2017.

"Pertumbuhan yang memberangsangkan ini didorong terutamanya oleh peningkatan pergerakan trafik penumpang antarabangsa, sekali gus menunjukkan Sabah merekodkan jumlah pelancong yang tinggi sejak beberapa tahun ini," katanya.

Pergerakan trafik penumpang antarabangsa meningkat daripada 1.6 juta pada 2014 dan 2015 kepada 2.1 juta pada 2016, iaitu kenaikan 27 peratus.

Tahun lalu, angka itu meningkat 22 peratus kepada 2.5 juta.

Sementara itu, MAHB berkata langkah untuk menggabungkan semua operasi lapangan terbang dan penerbangan di bawah satu bumbung di Terminal 1 (T1) KKIA telah memberi manfaat yang amat besar kepada pelancongan negara, khususnya bagi Sabah.

Selain kemudahan yang lebih baik, T1 juga memiliki kelebihan dari segi kesalinghubungan lebih luas dan menawarkan peluang pertumbuhan lebih tinggi untuk syarikat penerbangan.

"Enam syarikat penerbangan antarabangsa baharu telah mula beroperasi di KKIA dengan membawa pelancong dari Korea Selatan, China, Taiwan dan Jepun," katanya.

MAHB berkata, setakat ini 25 syarikat penerbangan beroperasi di lapangan terbang itu.

- BERNAMA

Berita Harian X