Jumaat, 10 Ogos 2018 | 4:53pm

Celcom kerjasama dengan Huawei digitalkan operasi rangkaian

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd (Celcom) menjalin kerjasama strategik dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd bagi menawarkan penyelesaian platform operasi pengkomputeran awan dan perisian sebagai perkhidmatan (SaaS).

Kerjasama itu menjadikan Celcom syarikat telekomunikasi pertama di negara ini menggunakan perkhidmatan sokongan operasi (OSS) berasaskan pengkomputeran awan secara sepenuhnya.

Ketua Pegawai Teknologi Celcom, Amandeep Singh, berkata kerjasama itu bagi mempertingkat kecekapan dalam automasi dan kepintaran pengurusan rangkaian, seterusnya memberi kelancaran kepada Celcom menjadi syarikat digital.

Amandeep berkata, platform operasi digital itu menggabungkan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pembelajaran mesin, dijana oleh Perkhidmatan Operasi Sesawang (OWS) Huawei.

“Ia akan mempertingkatkan kecekapan Celcom dalam menguruskan rangkaian dan perkhidmatan yang semakin rumit. Ia juga membolehkan transformasi operasi harian Celcom daripada reaktif kepada proaktif dan ramalan serta terus mengukuhkan strateginya untuk memberi pengalaman yang hebat kepada pelanggan.

“Ia juga memperlihatkan komitmen berterusan Celcom dalam memberikan pengalaman rangkaian yang terbaik kepada pelanggan.

“Kami akan terus memperlihatkan evolusi rangkaian dengan teknologi terkini dalam menyediakan pengalaman yang hebat kepada pengguna, jadi ia adalah penting untuk terus menerokai teknologi generasi baharu bersama rakan global seperti Huawei,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai perintis dalam penggunaan platform operasi digital berasaskan pengkomputeran awan di Malaysia, Celcom berharap dapat menjadi contoh di dalam industri dan seterusnya mempergiatkan transformasi operasi digitalnya.

Melalui kerjasama itu, Huawei berhasrat mengetengahkan penyelesaian automasi operasi digital dan penyelesaian perkhidmatan pintar (AUTIN) yang dimilikinya serta berkongsi pengalaman global bersama Celcom dalam usahanya mencapai operasi rangkaian yang lebih divisualkan, diautomasi serta lebih pintar.

Presiden Perkhidmatan Teknikal Global Huawei, Tang Qibing, pula berkata pihaknya berharap penyelesaian AUTIN Huawei akan memperkasa transisi Celcom daripada operasi tradisional dengan proses manual yang berulang-ulang kepada operasi berautomasi.

“Visi kami adalah untuk membina ekosistem bersama rakan strategik seperti Celcom, pihak ketiga dan industri lain bagi mencipta nilai yang luar biasa melalui perkhidmatan dan inovasi baharu, yang seterusnya akan memberi manfaat kepada semua orang dalam industri telekomunikasi,” katanya.

Berita Harian X