Isnin, 20 Ogos 2018 | 3:56pm

Maxis perkenal pelan jalur lebar fiber lebih murah

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd melancarkan pelan jalur lebar fiber baharunya dengan kelajuan sehingga 100Mbps pada harga 36 hingga 65 peratus lebih rendah berbanding pelan sebelum ini, sejajar dengan hasrat kerajaan mahukan rangkaian jalur lebar mampu milik.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Robert Nason, berkata pelan baharu untuk pelanggan awam dan perniagaannya itu menawarkan pengalaman internet disokong rangkaian fiber yang pantasserta perkhidmatan yang lebih baik.

Nason berkata, pelan bagi pelanggan awamnya bermula dari RM89 sebulan (30Mbps) dan RM129 sebulan untuk 100Mbps.

Bagi pelanggan perniagaan pula, beliau berkata ia bermula dari RM99 sebulan (30Mbps) dan RM139 sebulan untuk pelan 100Mbps termasuk pilihan perkhidmatan gred perniagaan dan pelbagai manfaat lain.

“Pelan baharu fiber kediaman menawarkan internet tanpa had dan juga router dwi-band untuk memaksimumkan kelajuan jalur lebar yang lebih tinggi.

“Selain itu, pelan ini juga menawarkan perkhidmatan Maxperts bagi memastikan kelancaran pelan jalur lebar fiber itu dengan pemasangan menyeluruh dan sokongan jaminan.

“Pelan 100Mbps ini juga menawarkan panggilan suara tanpa had dan telefon DECT percuma,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nason berkata, bagi pelan fiber perniagaannya itu pula, ia adalah penyelesaian yang terbaik untuk menyediakan masa depan perniagaan di Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya percaya jalur lebar mempunyai masa depan yang cerah dan melihat potensi pertumbuhan yang ketara di pasaran itu.

“Kami mengalu-alukan usaha kerajaan meningkatkan industri ini dengan menawarkan lebih banyak pilihan pada harga yang kompetitif kepada pengguna awam dan perniagaan.

“Maxis akan terus menjalankan pelaburan dalam rangkaian fiber sedia ada di Malaysia dan meningkatkan keupayaannya. Kami menjangkakan mendapat akses kepada kelajuan lebih pantas beberapa bulan akan datang dan apabila ia sudah tersedia, kami akan menawarkan pelan baharu kepada pelanggan,” katanya.

Berita Harian X