Jumaat, 24 Ogos 2018 | 5:53pm
JAMALUDIN (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Axiata, Vivek Sood pada sidang media pengumuman prestasi kewangan suku kedua Axiata di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Pendapatan suku kedua Axiata RM6.3 bilion

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd (Axiata) menunjukkan prestasi kukuh bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2018 apabila pendapatannya meningkat 4.6 peratus kepada RM6.3 bilion berbanding RM6.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, berkata peningkatan itu dicatat berikutan kebanyakan syarikat operasi (OpCos) menunjukkan prestasi lebih baik berbanding pasaran.

Jamaludin berkata, anak syarikatnya yang menumpukan kepada operasi dan pembinaan pencawang, edotco, turut mencatatkan peningkatan apabila menyumbang 7.3 peratus kepada pendapatan keseluruhan kumpulan.

Kecekapan pengurusan kos yang lebih tinggi hasil daripada inisiatif kumpulan turut meningkatkan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak empat peratus kepada RM2.4 bilion.

“Inisiatif pengoptimuman kos secara keseluruhan memberikan penjimatan sebanyak RM800 juta kepada kumpulan untuk separuh pertama tahun ini dan berada di landasan tepat mencapai sasaran kami sebanyak RM1.4 bilion hujung tahun ini.

“Axiata juga mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM263.7 juta berbanding RM462.6 juta suku sama tahun lalu,” katanya ketika sidang media pengumuman prestasi kewangan suku kedua Axiata di sini, hari ini.

Jamaludin berkata, suku kali ini juga mencatatkan beberapa pencapaian utama di mana syarikat bersekutu kumpulan itu di India, Idea Cellular Ltd, sedang dalam langkah terakhir bagi memperoleh kelulusan kawal selia untuk bergabung dengan Vodafone India Ltd, gabungan ini akan mewujudkan syarikat telekomunikasi terbesar di India dan juga di dunia.

Suku ini juga katanya mencatatkan satu lagi kejayaan apabila salah satu daripada tiga syarikat digital utamanya disahkan akan menerima pelaburan penting daripada Sumitomo Corporation sebanyak AS$109 juta (AS$1 = RM4.11).

Melangkah ke hadapan, kumpulan akan terus membina portfolio perniagaan yang mampan sebagai strategi jangka pertengahan kepada panjang bagi menangani persaingan, kos dan gangguan digital untuk memastikan pertumbuhan serta keuntungan dalam perniagaan digitalnya.

“Melalui model pelaburan digital terbaik serta rakan kongsi strategik, kami telah mengukuhkan pelaburan kami ke dalam tiga bidang utama.

“Ia merangkumi, penubuhan syarikat teknologi kewangan yang terbesar di Asia bagi menyediakan lima perkhidmatan mikro, pengwujudan sebuah agensi pendigitalan bebas yang terbesar di rantau ini yang menghubungkan lebih daripada 200 pelanggan bermodal besar dan mengadakan perniagaan global membabitkan kemudahan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi melalui hab dengan kumpulan-kumpulan telekomunikasi yang lain di mana kami telah menjangkaui 3.1 bilion orang melalui 110 pengendali rangkaian mudah alih,” katanya.

Berita Harian X