Khamis, 30 Ogos 2018 | 12:20pm

CIMB dijangka catat keputusan separuh kedua lebih baik

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings dijangka mencatatkan keputusan tahun kewangan separuh kedua 2018 lebih baik berikutan margin faedah bersih (NIM) yang stabil, kos kredit yang lebih rendah dan aktiviti pasaran modal yang meningkat, menurut Maybank IB Research.

Katanya, sasaran CIMB Group untuk pulangan ke atas ekuiti (ROE) pada tahun kewangan separuh kedua 2018 sebanyak 10.2 peratus, tidak termasuk keuntungan sekali sebanyak RM152 juta, bagaimanapun kelihatan rendah berbanding ROE yang normal sebanyak 9.4 peratus pada separuh pertama 2018.

“Tidak termasuk keuntungan sekali, kami mengunjurkan ROE tahun kewangan separuh kedua 2018 sebanyak 10.6 peratus dan 10 peratus pada tahun kewangan 2019/2020,” menurut firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

Maybank IB berkata keuntungan bersih teras suku kedua CIMB Group sebanyak RM1.0 bilion, yang merosot lima peratus tahun ke tahun, membawa keuntungan bersih teras pada separuh pertama 2018 kepada RM2.2 bilion, dalam jangkaannya (47 peratus daripada tahun penuh) tetapi di bawah konsensus (45 peratus).

Variasi utama adalah mampatan NIM suku ke suku yang lebih besar dan penurunan 14 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2018 pendapatan bukan faedah (NOII), susulan hutang dan aktiviti pasaran modal ekuiti yang rendah.

Maybank IB mengekalkan saranan Simpan ke atas CIMB Group dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.30 sesaham.

Pada 9.57 pagi, harga saham CIMB di Bursa Malaysia susut satu sen kepada RM6.08 dengan 1.41 juta saham bertukar tangan.

Firma penyelidikan lain, Kenanga Research, menurunkan anggaran ke atas pendapatan CIMB Group pada tahun kewangan separuh kedua 2018 sebanyak 3.4 peratus kepada RM4.93 bilion berikutan ia menurunkan unjuran NOII sebanyak 19 peratus.

"Kami mengekalkan andaian konservatif kami bagi pertumbuhan pinjaman sebanyak -5.0 peratus; 11 mata asas (bps) penyusutan NIM, dan caj kredit antara 40 dan 50 bps," katanya.

Kenanga Research turut menurunkan taraf saranan CIMB Group kepada 'Prestasi Pasaran’ berikutan potensi pulangan kurang daripada sembilan peratus.

Harga sasaran turut dikurangkan kepada RM6.40 daripada RM6.85 sebelum ini, katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X