Jumaat, 7 September 2018 | 3:09pm

edotco, Huawei tampil teknologi tambah liputan data

KUALA LUMPUR: edotco Malaysia (edotco) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei) memperkenalkan penyelesaian dalaman pelbagai teknologi yang pertama di dunia yang boleh meningkatkan liputan data.

Selain daripada itu, penyelesaian itu juga boleh menghantar kelajuan sehingga empat kali ganda bagi semua pengendali rangkaian mudah alih di negara ini.

Penyesaian dalam bangunan itu juga akan meningkatkan pengalaman pengguna mudah alih kepada ribuan penumpang yang melalui kawasan Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) setiap hari.

Infrastruktur telekomunikasi generasi akan datang itu juga akan dipasang di dua lokasi strategik di tingkat bawah KL Sentral dan mempunyai keupayaan lokasi bersama bagi pelbagai pengendali rangkaian mudah alih.

Ketua Serantau edotco, Wan Zainal Adileen berkata kerjasama berkenaan menekankan mengenai komitmen kami untuk bukan saja menyediakan infrastruktur yang boleh dikongsi tetapi juga memastikan ia boleh dikekalkan dan boleh menyokong keperluan pengguna mudah alih di masa hadapan.

“Hasrat bersama kami untuk mencipta inovasi meletakkan kami di barisan hadapan dalam memacu industri dan penyelesaian pertama ini pasti akan menetapkan tanda aras untuk semua pemain yang berada di dalam ekosistem yang sama,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Huawei, Baker Zhou berkata pihaknya gembira apabila edotco memilih untuk bekerjasama dengan Huawei sebagai rakan teknologi dalam projek ini.

“Ia membuka jalan untuk pengambilan infrastruktur telekomunikasi yang inovatif yang mampu menyokong peningkatan permintaan data.

“Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia yang lebih bersambung, digital dan cerdas bersama-sama dengan edotco.

“Projek ini kini sedang disepadu dan dioptimumkan untuk boleh digunakan pada suku ketiga tahun ini dan ia adalah langkah yang signifikan ke arah menjadikan penyelesaian teknologi pelbagai bersedia dengan kedatangan 5G nanti,” katanya.

Berita Harian X