Rabu, 12 September 2018 | 2:59pm
KETUA Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin. - Foto Saifullizan Tamadi
KETUA Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin. - Foto Saifullizan Tamadi

OCBC Bank teroka pendekatan inovatif hadapi cabaran

KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) menjalin usaha sama dengan Ondot System Inc dan EZMCOM Inc untuk meneroka pendekatan inovatif bagi menangani dua cabaran yang dihadapi syarikat perbankan.

Usaha ini disokong oleh The Open Vault, sebagai unit teknologi kewagan (FinTech) dan Inovasi bagi Kumpulan OCBC berpangkalan di Singapura, yang meluaskan platform berkenaan ke Malaysia pada Julai lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin, berkata cabaran pertama yang dikemukakan kepada dua syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu membabitkan usaha menerapkan bank ke dalam proses perbelanjaan gaya hidup pelanggan di Malaysia.

Cabaran kedua pula, katanya adalah penggunaan kaedah bukan lazim untuk mengenal pati dan mengesahkan identiti dan operasi perniagaan pelanggan tanpa interaksi bersemuka.

“Syarikat FinTech kini semakin ketara untuk menjadi sebahagian penting daripada pendekatan penyelesaian masalah OCBC Bank.

“Inovasi menjadi kunci industri perbankan dan syarikat FinTech tidak asing lagi bagi kita, terutama dengan kehadiran kukuh The Open Vault di Malaysia.

“Dua pelaksanaan semasa dengan Ondot Systems dan EZMCOM diterajui The Open Vault dan kami meramalkan lebih banyak insiatif seperti ini bakal dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, The Open Vault ditugaskan untuk mentakrifkan semula perbankan menerusi inovasi bersama firma FinTech di seluruh dunia.

“The Open Vault bertindak sebagai pemangkin untuk memupuk budaya inovasi dalam bank kami. Menerusi kerjasama dengan firma FinTech luar, kami dapat melakukan eksperimen pantas untuk mengesahkan idea dan penyelesaian baharu.

“Jika usaha sama dengan Ondot System dan EZMCOM berjalan lancar, hasil daripada kerjasama itu akan menjadi panduan untuk mengkomersialkan penyelesaian penyelesaian teknologi dalam tempoh selanjutnya.

Berita Harian X