Isnin, 15 Oktober 2018 | 8:33am
SHAHRIL Azuar Jimin.

Maybank belanja RM1.8 juta perluas inisiatif Eko-Tenun Wanita ASEAN

VIENTIANE: Yayasan Maybank membelanjakan RM1.8 juta bagi memperluaskan inisiatif Eko-Tenun Wanita Maybank ke arah usaha untuk memulihara, mengekalkan dan mempromosikan teknik pembuatan tekstil tradisional di ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin, berkata inisiatif itu menyokong Wawasan Komuniti ASEAN 2025, yang antara lain bertujuan untuk menggalakkan ASEAN yang lebih terangkum dengan memperkukuh pemerkasaan wanita dan kesaksamaan jantina di rantau ini.

Program yang dilancarkan pada 2016, kini dijalankan di tiga negara iaitu Kemboja, Indonesia dan Laos.

Sehingga kini, ia berjaya melatih 345 wanita, dengan memperoleh pendapatan bulanan purata antara AS$100 (AS$1=RM4.15) dan AS$240.

"Di Laos, pada tahun pertama perkongsian itu, kami melabur sebanyak RM350,000, sebahagian besarnya untuk aktiviti menenun dan menanam pokok mulberi serta membina sebuah asrama. Pada fasa seterusnya, kami mahu menaik taraf pusat tenunan.

"Indonesia dan Kemboja menerima sebahagian besar pelaburan. Setiap negara memperoleh kira-kira RM700,000 dan RM800,000 bagi menyokong program tahun ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran bangunan asrama di sini baru-baru ini.

Asrama itu dirasmikan Pengerusi Maybank dan Yayasan Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsuddin, dan Pengasas Perusahaan Sosial, Lao Sericulture Co Ltd (Mulberries), Kommaly Chantavong, rakan program di Laos.

Turut hadir Setiausaha Pertama Kedutaan Malaysia di Laos, Johan Arief Jaafar; Atase Pertahanan, Kedutaan Malaysia, Kolonel Mohd Mahmud Ahmad, Timbalan Kabinet Pejabat Gabenor Wilayah Xiengkhouang, Bounhom ​​Thepthani dan Gabenor Daerah Paek, Wilayah Xiengkhouang, Sivilay Sengchalern.

Shahril Azuar berkata dalam memilih program kemasyarakatan yang memberi impak kepada pasaran tempat ia beroperasi, Maybank, yang mempunyai kehadiran di semua 10 negara ASEAN, mendapati tujuh negara di rantau ini mempunyai persamaan dari segi budaya dan tradisi dalam bidang tenunan.

"Memandangkan industri itu semakin pudar, dan usaha untuk mengekalkannya tertumpu di peringkat kebangsaan, Maybank merasakan ia boleh menjadi juara dan membantu industri di peringkat serantau memandangkan bank itu cukup besar untuk membantu," katanya.

Beliau berkata bantuan yang diberikan adalah berdasarkan kepada keperluan sesebuah negara, contohnya, di Indonesia, bank itu membantu empat kemudahan tenun berasaskan kapas - dua di Sumatera Barat dan dua lagi di Lombok, dalam bentuk pembiayaan mikro.

Di Kemboja, beliau berkata ia adalah industri berasaskan sutera, namun kekurangan pakar akibat perang saudara.

Justeru, Maybank membina sebuah pusat latihan tenunan yang melatih lebih daripada 100 orang selepas dua tahun beroperasi, serta menyokong komuniti untuk menanam pokok mulberi.

Sementara itu, di Laos, beliau berkata masalahnya berkaitan pengangkutan kerana negara ini besar dan bergunung-ganang.

Yayasan Maybank ialah cabang tanggungjawab sosial korporat Kumpulan Maybank. Programnya memberi tumpuan kepada enam tonggak utama iaitu pendidikan, pemerkasaan komuniti, kehidupan sihat, seni dan budaya, kepelbagaian alam sekitar dan bantuan bencana di semua pasaran tempat ia beroperasi. - BERNAMA

Berita Harian X