Selasa, 16 Oktober 2018 | 5:19pm
Pengarah Kerjaya Prospek Property Sdn Bhd, Datuk Tee Eng Ho (dua dari kiri) dan Naib Presiden Pembangunan Hotel Asia Pasific Marriott International, Peter Gassner (tiga dari kiri) menukar saksi dokumen oleh Pengarah Kerjaya Prospek Property Sdn Bhd, Tee Eng Seng ( kiri) dan Pengarah Pembangunan Asia Pasific Marriott International Inc, Andree Susilo semasa Majlis Menandatangani Memorandum Perbadanan antara Kerjaya Prospek Property Group Bhd dan Luxury Hotels International Management Company BV di JW Marriott Hotel. - Foto Eizairi Shamsudin

Hotel Courtyard by Marriott dijadual siap 2022

KUALA LUMPUR: Kerjaya Prospek Property Sdn Bhd (KPP) dan Courtyard by Marriott International (Marriott International) menjalin kerjasama bagi membangunkan projek hotel yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

Pengarah KPP, Datuk Tee Eng Ho berkata, pihaknya membangunkan projek bercampur termasuk cadangan pembinaan hotel yang terletak di tanah komersial pegangan bebas dengan keluasan 2.10 hektar.

Katanya, pembinaan hotel Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South yang terletak di Jalan Klang Lama itu dijangka menawarkan 276 bilik.

“Hotel dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.1 bilion ini dijangka akan dilancarkan pada suku pertama 2019 dan dijadualkan siap sepenuhnya menjelang 2022.

“Hotel baharu ini adalah sebahagian daripada cadangan projek pembangunan bercampur KPP yang terdiri daripada tiga menara membabitkan dua menara apartmen servis 68 tingkat dan mempunyai 1,199 unit.

“Saiz apartmen servis itu antara 650 hingga 900 kaki persegi dan mempunyai dua dan tiga bilik tidur. Pemilik juga boleh menikmati lounge berkeluasan 76,000 kaki persegi di tingkat 67 dan 68.

“Manakala, Courtyard by Marriott Kuala Lumpur setinggi 38 tingkat akan dibina berdekatan dengan menara pejabat,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoC) dengan Marriott International di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Naib Presiden Marriott International, Peter Gassner.

Marriott International akan menjalankan operasi dan menguruskan Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South dan diberikan tempoh kontrak selama 10 tahun untuk beroperasi.

Manakala KPP pula ditugaskan untuk mereka bentuk dan membina pembangunan bercampur terbabit.

Eng Ho berkata, projek eksklusif ini juga terdiri daripada tujuh tingkat tempat letak kereta (kira-kira 1,715 lot) dan tiga tingkat tempat kereta bawah tanah komersial (1,009 unit) dan pusat membeli-belah empat tingkat.

“Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Marriott International, salah satu jenama hotel terkemuka di dunia.

“Dengan membabitkan Marriott International untuk mengendalikan komponen hotel, kami bukan saja meningkatkan reputasi kumpulan malah, malah komited menyediakan perkhidmatan hospitaliti terbaik kepada tetamu,” katanya.

Berita Harian X