Khamis, 18 Oktober 2018 | 1:00pm

Maxis catat untung bersih RM518 juta

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM518 juta bagi suku ketiga 2018, disebabkan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan lebih rendah.

EBITDA Maxis dalam suku dikaji susut 6.4 peratus kepada RM1.047 bilion, disebabkan oleh hasil perkhidmatan yang lebih rendah.

Bagaimanapun, margin EBITDA kekal tinggi pada 51.7 peratus, mencerminkan keputusan positif daripada inisiatif pengoptimuman kos.

Berikutan prestasi itu, Maxis mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak lima sen sesaham.

Secara dasar, Maxis mencatatkan prestasi kukuh pada suku ketiga 2018, didorong oleh peningkatan pertumbuhan data dan keputusan positif daripada inisiatif pengoptimuman kos serta pemasaran yang agresif.

Prestasi suku ketiga juga mencerminkan dinamik pasaran yang mencabar dengan persaingan harga yang intensif.

Bagi suku dikaji, hasil perkhidmatan Maxis susut tiga peratus kepada RM2.027 bilion disebabkan oleh penurunan dalam segmen prabayar, yang tidak mengimbangi pertumbuhan perniagaan pasca bayar dan fiber kediaman.

Segmen pasca bayar terus mencatatkan prestasi baik dengan hasil meningkat 2.8 peratus kepada RM1.025 bilion, didorong oleh pertumbuhan langganan berterusan dengan purata hasil setiap pengguna (ARPU) yang stabil dan tinggi sebanyak RM93.

Hasil daripada prabayar pula susut 10.1 peratus kepada RM851 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, mencerminkan persaingan harga yang berterusan di pasaran.

Di samping itu, segmen prabayar juga dipengaruhi oleh penyatuan SIM dan penghijrahan kepada pasca bayar.

Inisiatif pemasaran yang dilaksanakan dengan baik telah membantu Maxis mengurangkan penurunan dalam asas pelanggan dan mengekalkan ARPU yang stabil pada RM42.

Internet mudah alih terus berkembang, menyumbang 58.3 peratus daripada hasil prabayar untuk suku dikaji.

Sementara itu, hasil daripada segmen fiber kediaman meningkat 14.3 oeratus kepada RM80 juta dan asas pelanggan meningkat kepada 202,000 dalam suku dikaji.

Sejak pengaturan akses baharu dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) diumumkan pada Ogos lalu, Maxis telah menerima lebih 40,000 pendaftaran bagi perkhidmatan baharu ini dari pelanggan sedia ada dan baharu yang akan dipenuhi pada bulan-bulan akan datang oleh pasukan perkhidmatan Maxperts.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Robert Nason, berkata syarikat telah merekodkan prestasi operasi suku tahun yang baik, didorong oleh pertumbuhan data dan permintaan untuk tawaran inovatif dari pengguna dan perniagaan.

“Kami gembira dengan prestasi teras dan walaupun ia melampaui jangkaan, Maxis menjangkakan impak berikutan pengecilan hasil borong, kesan cukai jualan dan perkhidmatan, pelaburan dalam tawaran fiber baharu, selain persaingan harga yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara inisiatif diperkenalkan Maxis pada suku ketiga ialah melancarkan pelan jalur lebar fiber baharu bagi pengguna dan perniagaan dengan kelajuan sehingga 100Mbps dan pada harga sehingga 65 peratus lebih rendah daripada pelan serupa sebelumnya.

Berita Harian X