X
Khamis, 18 Oktober 2018 | 6:06pm
Pengarah tonton, Pelesenan dan Pembarangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Airin Zainul. - Foto Zunnur Al Shafiq
Pengarah tonton, Pelesenan dan Pembarangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Airin Zainul. - Foto Zunnur Al Shafiq

tonton, syarikat penyiar Jerman jalin usaha sama

KUALA LUMPUR: Saluran penstriman nombor satu dan terbesar negara, tonton sekali lagi menjalin kerjasama dengan syarikat penyiaran bebas dari Jerman, Deutsche Welle (DW).

DW yang terkenal dengan kebebasan dalam melaporkan berita pernah bekerjasama dengan tonton selama setahun iaitu pada Mac 2016 hingga Februari 2017.

Pengarah tonton, Pelesenan dan Pembarangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Airin Zainul berkata, kerjasama itu diyakini mampu menarik lebih ramai penonton.

“Seperti semua sedia maklum, tonton kini boleh diakses tanpa sebarang kos kepada pengguna di negara kita. Jadi, dengan adanya kerjasama ini ia mampu meningkatkan lagi jumlah tontonan di platform ini.

“Bagi saya, menjadi satu kemestian buat rakyat di negara ini melengkapkan diri dengan pengetahuan, perkembangan terbaru dan hal ehwal semasa seiring dengan kemajuan teknologi sedia ada,” katanya dalam majlis pengumuman kerjasama tonton dengan DW di Balai Berita, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak dan Ketua Pengarah DW, Peter Limbourg.

Sementara itu, Limbourg menyifatkan dengan jumlah 8.4 juta pendaftar, tonton secara tidak langsung dapat memperkenalkan program dari Jerman kepada penduduk di negara ini.

"Kami mengolah berita antarabangsa dengan memberikan lebih perspektif dan menekankan informasi dengan penyampaian paling ringkas agar memudahkan penonton muda fahami program yang disampaikan.

"Ini berdasarkan penglihatan kami terhadap golongan muda zaman ini yang gemar menonton video pendek yang ada di laman sosial.

Disebabkan itu, kami menitikberatkan cara olahan dan penyampaian berita yang mampu menjadi bahan bualan penonton," katanya.

Saluran DW di tonton menawarkan dua jenis kandungan iaitu saluran linear (DW English) dan DW Video On Demand (DW VOD) dalam bentuk klip pendek.

Bagi kandungan DW English ia menyediakan laporan mengenai isu dan berita semasa, laporan khas dan rancangan bual bicara yang merangkumi semua bidang.

Dalam erti kata lain, DW English membawakan berita secara lebih eksklusif dan dekat untuk tatapan penonton.

Sementara DW VOD memaparkan kandungan VOD premium dalam bentuk klip pendek yang tersedia melalui tonton.

Antaranya, BirdsEye, Try This!, Now You Know, Dresscode dan Euromaxx DIY.

Kedua-dua saluran itu boleh dilayari secara percuma di saluran tonton bermula Isnin lalu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X