Rabu, 31 Oktober 2018 | 6:25pm

Untung bersih suku ketiga Lotte Chemical susut

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Lotte Chemical Titan Holding Bhd bagi suku ketiga yang berakhir 30 September 2018, menyusut kepada RM217.09 juta daripada RM230.13 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, perolehan meningkat kepada RM2.41 bilion daripada RM2.01 bilion sebelum ini,kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Syarikat tersebut berkata perolehan yang lebih tinggi itu adalah hasil daripada peningkatan jualan yang dipacu oleh kuantiti pengeluaran yang bertambah baik dan kenaikan purata harga jualan barangan.

Lotte Chemical berkata keuntungan yang rendah itu disebabkan kekangan margin pada suku tersebut berikutan peningkatan ketara harga bahan mentah.

Bagaimanapun keuntungan lebih rendah itu sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan pendapatan operasi lain yang termasuk keuntungan tukaran asing tinggi sebanyak RM7.5 juta, keuntungan daripada perubahan nilai saksama bagi derivatif (RM11.8 juta) dan hapus kira hartanah, kilang serta peralatan yang lebih rendah (RM17.9 juta). - BERNAMA

14 dibaca
Berita Harian X