Khamis, 8 November 2018 | 4:35pm

Lazada sasar latih lapan juta PKS ASEAN

KUALA LUMPUR: Lazada, peneraju pusat beli-belah dalam talian di Asia Tenggara, menyasarkan untuk melatih lapan juta usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di rantau Asia Tenggara menjelang 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Christophe Lejeune, berkata pihaknya juga komited untuk mewujudkan ekosistem e-dagang yang sihat dan mampan serta mendahului peluang dalam infrastruktur teknologi dan logistik dalam usaha memberi manfaat kepada rantaian e-dagang termasuk penjual, pengguna dan komuniti tempatan.

“PKS memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi Malaysia dan Lazada komited untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi memacu era transformasi digital yang mampan.

“Dengan melatih penjual menerusi teknologi, kebolehan logistik dan rangkaian pembeli di dalam dan luar negara; kami dapat membantu mereka menjadi perniagaan yang mampan yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Asia Tenggara dalam jangka panjang,” katanya kepada media dalam sesi perbincangan bertemakan ‘e-dagang di Malaysia dan Asia Tenggara’ anjuran Lazada Malaysia di sini, hari ini.

Lejeune berkata, dalam usaha mencapai sasaran itu, Lazada akan menawarkan bantuan kepada PKS untuk mendigitalkan perniagaan mereka dan mendapatkan akses yang lebih baik kepada pengguna mudah alih.

Selain itu, katanya Lazada komited mengurangkan halangan bagi penjual untuk mencipta jenama sendiri di Lazada dan membenarkan usahawan PKS meneroka rangkaian logistik syarikat untuk memudahkan pemindahan barangan.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Global dan Pengarah Urusan Unit Perisikan Ekonomi di Asia, Simon Baptist, berkata walaupun segmen e-dagang dilihat terus berkembang di Malaysia, masih banyak pelaburan dalam infrastruktur diperlukan.

"Walaupun akses internet yang agak tinggi dan penggunaan digital adalah asas yang baik untuk pertumbuhan e-dagang, terdapat beberapa bidang yang memerlukan tumpuan lebih lanjut.

“Antaranya adalah meningkatkan integrasi penghantaran terakhir dengan rantaian bekalan di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Baptist berkata, perkara lain yang perlu diberi tumpuan adalah PKS perlu membabitkan diri secara proaktif untuk mengelakkan diri daripada terjejas oleh persaingan yang semakin meningkat.

Berita Harian X