Khamis, 29 November 2018 | 1:44pm

Untung bersih sembilan bulan CIMB RM4.47 bilion

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM4.47 bilion bagi sembilan bulan pertama 2018, didorong oleh keuntungan daripada penjualan 20 peratus CIMB-Principal Asset Management (CPAM) dan 10 peratus CIMB-Principal Islamic Asset Management (CPIAM) berjumlah RM928 juta.

Ia meningkatkan pulangan ke atas ekuitinya dalam tempoh sembilan bulan 2018 kepada 11.6 peratus dan mengurangkan nisbah kos berbanding pendapatan (CIR) kepada 48 peratus.

Dari segi asas perniagaan seperti biasa (BAU), keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan perbankan serantau itu dalam tempoh dikaji meningkat empat peratus kepada RM4.76 bilion.

Perbelanjaan operasi 6.4 peratus dan peruntukan kerugian pinjaman 30.7 peratus lebih rendah menyumbang kepada peningkatan BAU sembilan bulan CIMB sebanyak 3.6 peratus kepada RM3.54 bilion.

Ia dicapai meskipun pendapatan operasinya dalam tempoh dikaji susut 5.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu berikutan pasaran modal yang lebih lemah di Malaysia.

Perolehan bersih sesahamnya dalam tempoh sembilan bulan 2018 adalah 38 sen, dengan pulangan ke atas ekuiti (ROE) tahunannya adalah 9.8 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata prestasi baik sembilan bulan 2018 disokong oleh peruntukan dan kos lebih rendah, peningkatan berterusan daripada segmen perbankan pengguna dan komersial, selain pemulihan pendapatan perbankan borong pada suku ketiga 2018.

“Kami gembira mencatatkan rekod PBT sebanyak RM5.69 bilion pada sembilan bulan 2018 di sebalik landskap operasi mencabar,” katanya dalam satu kenyataan.

Pendapatan operasi CIMB dalam tempoh dikaji adalah 5.6 peratus lebih rendah pada RM12.38 bilion berikutan penurunan 10 peratus pendapatan bukan faedah daripada pasaran modal lebih perlahan di Malaysia pada suku kedua.

Ia juga susulan penurunan 3.7 peratus pendapatan faedah bersih, khususnya daripada perbankan komersial dan borong.

Menuju ke hadapan, Tengku Zafrul berkata CIMB kekal berada dalam sasaran untuk mencapai sasaran utama T18, namun kekal berhati-hati berikutan ekonomi serantau yang lebih lemah serta ketegangan perdagangan global.

“Dengan latar belakang sedemikian, kami akan terus mengawal kualiti aset dan kos di seluruh perniagaan dan geografi, sambil memuktamadkan rancangan pertengahan penggal berikutnya bagi melonjakkan CIMB ke laluan pertumbuhan lebih kukuh,” katanya.

Berita Harian X