Khamis, 6 Disember 2018 | 5:37pm
YASMIN Mahmood

Yasmin letak jawatan CEO MDEC

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood meletak jawatan selepas berkhidmat selama lebih empat tahun.

"Dengan hati yang berat saya telah menawarkan peletakan jawatan saya sebagai CEO MDEC untuk meneruskan kerjaya dengan syarikat teknologi di Jakarta," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau melepaskan jawatannya sebagai CEO dan semua jawatan lain dalam MDEC berkuatkuasa 15 Januari 2019.

Berterima kasih kepada Yasmin atas kepimpinannya dalam MDEC, yang mana beliau menyertainya sebagai CEO pada 15 September 2014, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu bahawa semangat, komitmen dan tenaga CEO itu telah memberi manfaat kepada Malaysia dalam tempoh berkenaan.

Pemangku Pengerusi MDEC, Datuk Mathialakan Chelliah juga berkata: “Yasmin adalah pemimpin yang berwawasan di MDEC. Kebolehan beliau untuk memacu pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada hasil pada peringkat nasional adalah tiada bandingannya.

"Kami sangat berterima kasih atas usaha gigih beliau yang telah berkhidmat kepada negara sejak beberapa tahun yang lalu dan sememangnya sedih yang dia akan meninggalkan MDEC."

Di bawah kepimpinan Yasmin, MDEC memulakan dan mengambil bahagian dalam, antara lain, projek pembinaan negara seperti Zon Perdagangan Bebas Digital untuk menggalak komuniti perusahaan kecil dan sederhana Malaysia merangkul e-dagang, membawa masuk pelaburan langsung asing ke Malaysia, memupuk sistem teknologi Malaysia, termasuk syarikat pemula niaga dan tempatan ke peringkat bertaraf dunia.

-BERNAMA

335 dibaca
Berita Harian X