Isnin, 17 Disember 2018 | 4:45pm
KETUA Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Seri Shahril Mokhtar. - Foto Luqman Hakim Zubir

CEO MRT Corp tamat kontrak akhir tahun

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Seri Shahril Mokhtar akan menamatkan perkhidmatannya pada akhir tahun ini.

Shahril yang mengambil alih pucuk pimpinan syarikat pemilik dan pemaju Projek MRT Lembah Klang pada 5 Januari 2015, tidak akan melanjutkan tempoh kontraknya yang akan tamat pada 31 Disember 2018 bagi membolehkan beliau menceburi kerjaya lain.

Sehubungan itu, Lembaga Pengarah MRT Corp yang bermesyuarat pada 14 Disember lalu membuat keputusan untuk melantik Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingannya, Datuk Najmuddin Abdullah sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif.

Beliau akan memegang jawatan berkenaan sehingga Ketua Pegawai Eksekutif baharu dilantik oleh kerajaan.

Shahril berkata, peluang yang diberi kepadanya untuk berkhidmat dan menerajui MRT Corp adalah satu penghormatan yang besar.

“Saya akan sentiasa menghargai setiap detik di MRT Corp, terutamanya detik kemuncak seperti pembukaan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dan pelancaran pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita Harian X