Isnin, 17 Disember 2018 | 8:09pm

CIMB failkan permohonan hentikan sistem RFID PLUS

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd dan anak syarikatnya, CIMB SI 1 Sdn Bhd, memfailkan permohonan timbang tara terhadap Plus Malaysia Bhd (PLUS) bagi menghentikan pelaksanaan sistem pengenalan frekuensi radio (RFID).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata, CIMB, CIMB SI 1 dan Plus sebelum ini memeterai perjanjian usaha sama (JVA) pada 12 Mei 1998, berkaitan Touch ‘N Go Sdn Bhd (TnG), sebuah syarikat persendirian yang mana pemegang sahamnya terdiri daripada CIMB, MTD Equity Sdn Bhd dan PLUS.

“Tuntutan daripada kumpulan dan CIMB SI 1 adalah PLUS sudah melanggar syarat JVA dengan melancarkan sistem RFIDnya sendiri,” katanya.

CIMB berkata, syarikat itu dan CIMB SI 1, memohon injuksi bagi menghalang PLUS dari terus melaksanakan sistem RFIDnya bersama kerugian, faedah dan kos.

“Syarikat akan mengeluarkan pengumuman kepada Bursa Malaysia sekiranya terdapat perkembangan berhubung perkara ini,” katanya.

PLUS baru-baru ini mengumumkan pengenalan kepada sistem pembayaran tol RFID.

Katanya, syarikat konsesi lebuh raya itu akan melaksanakan tempoh ujian perintis pada 15 Disember di lokasi terpilih di Pulau Pinang dan Kedah.

Sistem RFID TnG mempunyai sambungan dengan e-dompet Touch ‘n Go, manakala sistem RFID PLUS menggunakan kad debit dan kredit pengguna dengan melakukan pembayar tol secara terus dari akaun bank mereka.

Ujian perintis itu dilaporkan di empat lokasi iaitu Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Plaza Tol Kubang Semang dan Lunas di Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) dan Plaza Tol Jitra di Kedah.

Buat masa ini, masih tiada butiran mengenai tarikh pelancaran RFID PLUS.

Berita Harian X