Selasa, 15 Januari 2019 | 6:39pm
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri.

Surina Shukri dilantik CEO baharu MDEC

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, hari ini mengumumkan pelantikan Surina Shukri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa esok.

Surina menggantikan Datuk Yasmin Mahmood yang meletak jawatan pada 7 Disember lalu.

Gobind dalam kenyataan hari ini berkata, Surina, yang membina sebahagian besar kerjaya profesionalnya di Amerika Syarikat, telah kembali ke Malaysia untuk memainkan peranan baharunya di MDEC.

Surina mempunyai pengalaman lebih 20 tahun bekerja di pelbagai syarikat multinasional terutamanya di JPMorgan Chase & Co dan syarikat pemula niaga dalam sektor kewangan, sumber alam, tenaga dan teknologi.

Gobind berkata, MDEC telah berjaya menerajui pembinaan ekosistem ekonomi digital negara dan telah banyak memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya yakin Surina akan berusaha untuk terus membina MDEC dengan kepimpinan dan pengalaman beliau dan membawa MDEC ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di pentas dunia," kata Gobind.

-BERNAMA

Berita Harian X