Isnin, 21 Januari 2019 | 5:04pm
Naib Presiden Kumpulan Alibaba, Brian Wong. - Arkib NSTP
Naib Presiden Kumpulan Alibaba, Brian Wong. - Arkib NSTP

Malaysia negara Asia pertama sertai Program Latihan Alibaba Netpreneur

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi negara Asia pertama, di luar China, untuk memulakan Program Latihan Netpreneur Alibaba dari 23 Mac 2019 hingga 3 April 2019, yang akan melengkapkan inisiatif Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) di Malaysia.

Naib Presiden Kumpulan Alibaba, Brian Wong, berkata program 10 hari itu akan dihoskan di Ibu Pejabat Alibaba di Hangzhou, China dan program latihan kedua akan bermula dari 13 April 2019 hingga 24 April 2019.

Program itu bertujuan untuk membolehkan usahawan Malaysia dan mereka yang mengendalikan perniagaan dalam pasaran Malaysia untuk memanfaatkan inovasi digital untuk mengubah perniagaan mereka dan juga ekonomi negara, katanya kepada BERNAMA baru-baru ini.

Wong berkata, menerusi perjanjian eWTP dengan Malaysia itu Kumpulan Alibaba komited untuk memudahkan pembangunan infrastruktur eTrade dan penggunaan amalan terbaik.

"Program Latihan Alibaba Netpreneur, yang dianjurkan bersama oleh Alibaba Business School, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp), diprogramkan untuk menampung keperluan perniagaan yang pelbagai di Malaysia, khususnya dalam menyesuaikan diri kepada ekosistem digital," katanya.

Wong berkata, maksimum 50 usahawan akan menyertai setiap program latihan.

Ditanya sama ada program latihan itu akan berterusan menjangkaui kedua-dua kumpulan itu, Wong berkata:

"Kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan perniagaan Malaysia untuk berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik untuk membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat manfaat sepenuhnya daripada globalisasi. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X