Selasa, 29 Januari 2019 | 5:39pm
Timbalan Gabenor Lembaga Monetari Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP), Chuchi G Fonacier dan Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Mohd Nasir Ahmad pada majlis perasmian CIMB Philippines baru-baru ini.

CIMB lengkapkan pengembangan ASEAN

MANILA: CIMB Group melengkapkan kedudukannya dalam industri perbankan ASEAN dengan pembukaan rasmi cawangannya di Filipina, CIMB Bank Philippines Inc (CIMB Philippines).

Ia akan menjadi bank digital dan mudah alih sepenuhnya pertama di negara itu, menjanjikan perbankan lebih mudah, selepasa dan ringkas.

Perasmian CIMB Philippines baru-baru ini disempurnakan Timbalan Gabenor Lembaga Monetari Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) Chuchi G Fonacier dan Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Mohd Nasir Ahmad.

Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama dan Perkongsian Kumpulan CIMB, Effendy Shahul Hamid, berkata kumpulan berbesar hati memulakan perkhidmatan kepada pelanggan di Filipina.

“Ini melengkapkan operasi CIMB di ASEAN dan kami tidak sabar untuk membawa cadangan perbankan yang baharu dan digital kepada pasaran.

“Penembusan Internet dan mudah alih di Filipina kekal sebagai salah satu yang tertinggi di dunia, petunjuk jelas masyarakatnya yang progresif serta moden,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Philippines, Vijay Manoharan pula berkata, pihaknya akan berusaha memberikan peningkatan pengalaman perbankan baru kepada pengguna Filipina.

“Pengguna akan datang memerlukan penyelesaian kewangan yang sangat penting berkaitan dengan keperluan serta membantu mereka menjayakan urusan kewangan dan ia tidak semestinya memerlukan bank fizikal.

“Dengan penawaran produk melalui aplikasi OCTO, kami turut menawarkan khidmat tahap berikutnya pada bila-bila masa dengan membolehkan pelanggan ‘membawa’ cawangan bank di tangan mereka,” katanya.

Berita Harian X