Selasa, 12 Februari 2019 | 3:28pm
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika melancarkan AMAL di KLIA,bersama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmud Hussein Saeed Al Qattan (kanan); Pengerusi AMAL, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa (dua kanan); Ketua Pegawai Eksekutif AMAL, Hazman Hilmi Sallahuddin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group, Izham Ismail. Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika melancarkan AMAL di KLIA,bersama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmud Hussein Saeed Al Qattan (kanan); Pengerusi AMAL, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa (dua kanan); Ketua Pegawai Eksekutif AMAL, Hazman Hilmi Sallahuddin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group, Izham Ismail. Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah.

Amal sasar kuasai khidmat sewa khas haji, umrah

SEPANG: Amal, penyedia perkhidmatan sewa khas untuk haji dan umrah di bawah kendalian Malaysia Airlines meletakkan sasaran untuk menjadi penyedia perkhidmatan utama rantau Asia Tenggara khususnya di laluan yang tidak mendapat akses terus ke Arab Saudi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hazman Hilmi Sallahuddin, berkata Amal menyediakan perkhidmatan membawa jemaah haji atau umrah menerusi servis dalam penerbangan yang lebih berkualiti.

“Sebelum ini terdapat perkhidmatan seumpama ini yang kurang memuaskan terutama berkaitan layanan krew penerbangan atau makanan yang disediakan.

“Namun, melalui Amal, kami akan menyediakan perkhidmatan lebih baik di mana visi kami adalah memastikan perjalanan mereka melaksanakan ibadah bermula dari dalam penerbangan, dan bukannya selepas tiba di destinasi yang dituju,” katanya.

Menurutnya, selain perkhidmatan untuk jemaah Malaysia, Amal turut menawarkan penerbangan bagi jemaah dari Indonesia dan Thailand.

“Bagi pasaran Malaysia, kami mencapai sehingga 50 peratus penguasaan pasaran dan meletakkan sasaran untuk mencapai 60 peratus penguasaan dalam tempoh dua tahun.

“Selain Malaysia, kami juga melihat potensi tinggi bagi jemaah dari Indonesia khususnya mereka yang datang dari Sumatera memandangkan perjalanan yang diambil dari lokasi berkenaan ke Arab Saudi memakan masa lebih lama.

“Kami juga menyasarkan untuk menembusi 10 peratus pasaran di Indonesia daripada hampir sejuta jemaah umrah dan haji dicatatkan setiap tahun,” katanya selepas majlis pelancaran Amal di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Malaysia Aviation Group, Kapten Izham Ismail.

Hazman berkata, selain Malaysia dan Indonesia, Amal turut meneroka pasaran bagi jemaah haji dan umrah dari Thailand memandangkan setakat ini belum ada perkhidmatan penerbangan terus ke Arab Saudi.

“Jemaah dari Thailand adalah sekitar 13,000 setiap tahun, namun kami melihat potensi tinggi bagi pasaran ini. Sebagai contoh, jemaah dari Pattani perlu mengambil penerbangan berasingan ke Hatyai, Bangkok dan Dubai atau Oman sebelum sampai ke Arab Saudi.

“Ia mungkin mengambil masa sehingga dua hari. Berbeza dengan penerbangan yang diambil menggunakan perkhidmatan Amal di mana mereka hanya perlu ke Kuala Lumpur dan terus ke Arab Saudi,” katanya.

Selain itu, Amal juga bekerjasama rapat dengan lima agensi penyedia perkhidmatan haji dan umrah berskala besar dan lebih kurang 30 agensi kecil.

Setakat ini, empat pesawat jenis A380-800 digunakan bagi membawa jemaah haji dan umrah pada musim puncak dengan tiga penerbangan sehari.

Antara keistimewaan perkhidmatan Amal adalah talbiyah dalam pesawat, bacaan doa musafir oleh krew sebelum berlepas, pengumuman waktu solat dan laungan azan dalam pesawat, makanan khas untuk jemaah selain tazkirah ringkas sebelum mendarat sebagai panduan buat jemaah yang pertama kali mengerjakan umrah.

Berita Harian X