Jumaat, 22 Februari 2019 | 9:38pm

Takaful Malaysia perkenal pelan jangka langsung sedia perlindungan berpatutan

KUALA LUMPUR: Takaful Malaysia memperkenalkan pelan jangka langsung berpatutan, Takaful myTerm, yang menyediakan perlindungan kewangan terhadap sebarang peristiwa tidak dijangka dengan terma perlindungan fleksibel untuk disesuaikan dengan keadaan dan keperluan kewangan pelanggan individu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Syarikat Takaful Malaysia Bhd) Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil berkata, ini bertujuan untuk menyokong langkah industri yang menyasar mewujudkan publisiti dan aktiviti bagi mempromosikan dan meningkatkan kesedaran tentang takaful dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi Kempen ‘Race for Cover’ Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Beliau berkata, pelan jangka langsung itu adalah sejajar dengan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyediakan perlindungan berpatutan kepada orang awam dan menyediakan perlindungan sehingga RM500,000 sekiranya berlaku kematian atau Hilang Upaya Kekal semasa tempoh perlindungan.

Produk itu akan meningkatkan akses dan kemampuan penyelesaian takaful dalam kalangan pengguna, sejajar dengan strategi inovasi produk Takaful Malaysia yang menyediakan portfolio lebih meluas campuran produk untuk kekal relevan dalam pasaran yang kompetitif, kata Mohamed Hassan dalam satu kenyataan, hari ini.

Takaful myTerm adalah pelan perlindungan yang sesuai bagi pelanggan yang mahukan perlindungan hayat asas dengan harga yang berpatutan.

Pelan terbabit yang ditawarkan kepada warga Malaysia berusia 19 hingga 45 tahun disertakan dengan perlindungan fleksibel bagi tempoh 10 atau 20 tahun, bergantung kepada pelan kewangan dan keperluan individu.

Pelanggan hanya perlu memilih perlindungan pelan dan menjawab soalan mudah tentang kesihatan tanpa perlu menjalani sebarang pemeriksaan perubatan untuk melanggan pelan terbabit.

“Sebagai perintis industri insurans Islam negara selama lebih tiga dekad, kami sentiasa berada di hadapan dalam menyediakan produk inovatif dengan harga yang berpatutan bagi memenuhi keperluan pelanggan kami yang sentiasa berkembang,” katanya.

Mengenai kempen kesedaran yang dijalankan oleh MTA, Mohamed Hassan berkata ia merupakan sebahagian daripada inisiatif bersepadu industri takaful untuk meningkatkan kadar penembusan perniagaan Takaful Keluarga, seiring dengan usaha berterusan kerajaan dalam merapatkan jurang perlindungan negara.

“Justeru, Takaful myTerm kami menyediakan alternatif perlindungan mampu milik yang akan bersesuaian dengan bajet pengguna.

“Pembayaran sekali gus manfaat pelan itu boleh digunakan untuk memenuhi keperluan asas bagi meringankan bebanan kewangan mereka seperti pendapatan, perlindungan gadai janji dan lain-lain,” katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X