Selasa, 5 March 2019 | 7:23pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Bhd, Datuk Azmir Merican.

Penjagaan kesihatan pacu pertumbuhan UEM Edgenta

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd mengunjurkan penjagaan kesihatan sebagai pemacu pertumbuhan pada tahun ini dengan syarikat itu kini giat membida kontrak-kontrak baharu.

Segmen penjagaan kesihatan, yang dibahagikan kepada segmen konsesi dan segmen sub-komersial, menyumbang 54 peratus hasil dijana kumpulan daripada aset dan pengurusan fasiliti.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Merican, berkata UEM Edgenta yakin untuk memperoleh lebih banyak perniagaan di Singapura kerana sektor penjagaan kesihatan negara pulau itu kini sedang menjalani proses penstrukturan, yang akan diselaraskan kepada tiga kluster bersepadu.

“Kami fokus untuk meningkatkan perkongsian kami dalam pasaran Singapura, dengan kami kini di tempat kedua dari segi perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan. Untuk mencapai ini, kami akan mengukuhkan rantaian nilai dan tawaran,” katanya pada taklimat media mengenai unjuran UEM Edgenta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Mengenai Taiwan, Azmir berkata syarikat sedang mengkaji untuk menawarkan lebih banyak perkhidmatan kepada pelanggan sedia ada dan sedang membida empat kontrak dengan nilai yang signifikan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kontrak atau segmen berkenaan.

Perniagaan teras UEM Edgenta adalah perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan, hartanah dan penyelesaian fasiliti, perkhidmatan infrastruktur serta perunding aset.

UEM Edgenta telah meraih kontrak bagi semua empat perniagaan terasnya itu pada 2018 dan nilai kontrak berada dalam tangannya setakat 31 Disember 2018, adalah RM13.4 bilion.

-BERNAMA

Berita Harian X