Selasa, 16 April 2019 | 3:15pm

DXC buka pusat operasi keselamatan di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Firma perkhidmatan teknologi maklumat (IT) global, DXC Technology (DXC), membuka Pusat Operasi Keselamatan (SOP) Generasi Baharu di Kuala Lumpur.

SOC itu bakal membantu mengukuhkan dan meningkatkan keselamatan syarikat dengan mengintegrasikan analisis keselamatan lanjutan merentasi teknologi maklumat dan teknologi operasi (OT) bukan saja bagi pelanggan rantau ini, malah pelanggan global.

Naib Presiden Kanan dan Pengurus Besar Keselamatan DXC, Mark Hughes, berkata pusat itu adalah yang terkini kerana menyokong Operasi Keselamatan Pintar DXC menyediakan kepakaran dalam analisis lanjutan, forensik digital, penyiasatan dan tindak balas insiden serta penyelesaian yang disesuaikan untuk melindungi peniagaan digital.

Katanya, seiring dengan laporan DXC mengenai 10 trend keselamatan bagi 2019, syarikat perlu mengawal mengenai pelbagai ancaman, termasuk serangan pemerasan, kelemahan perkakasan serta perisian dan peningkatan ketegangan antarabangsa.

Selain itu katanya, cabaran untuk mengambil dan mengekalkan tenaga kerja mahir dalam keselamatan siber menjadikan keselamatan siber keutamaan kepada perniagaan di seluruh rantau ini.

“Walaupun transformasi digital menyampaikan nilai perniagaan, ia juga dapat memperkenalkan risiko keselamatan.

“Portfolio khidmat nasihat dan keselamatan yang dikendalikan oleh DXC Security membantu pelanggan memberi perhatian khusus kepada pembinaan keselamatan dalam aplikasi, infrastruktur dan budaya untuk membantu mendayakan perubahan digital secara besar-besaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

DXC menjalankan pelaburan yang besar dalam Amalan Keselamatan untuk membantu pelanggan mengurus risiko keselamatan siber.

SOC DXC Malaysia disepadukan dengan rangkaian global DXC Managed Security Services menyediakan pengesanan dan perkhidmatan ancaman siber setiap hari kepada pelanggan dalam industri seperti perkhidmatan kewangan, perjalanan dan pengangkutan, media dan hiburan.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Besar DXC Asia, Koushik Radhakrishnan, berkata dalam era digital, teknologi kadangkala boleh mengganggu, manakala skop pengurusan risiko teknologi terus berkembang.

“Tumpuan yang lebih besar terhadap pendekatan proaktif dalam perlindungan data dan pelanggan, ditambah dengan penyelesaian pengurusan insiden yang berkualiti tinggi, boleh membimbing pihak berkepentingan dalam hal serangan siber.

“DXC adalah peneraju dalam pengurusan risiko dan keselamatan siber global dan pelaburan dalam SOC Malaysia adalah bagi memastikan penjajaran dengan pelaburan strategik untuk pelanggan kami di rantau ini,” katanya.

DXC mempunyai pusat operasi keselamatan global di lima benua, menyokong pelanggan di lebih 70 negara dan lebih daripada 3,500 tenaga kerja mahir keselamatan siber di seluruh dunia.

Berita Harian X