Rabu, 17 April 2019 | 6:16pm

Kecekapan Pharmaniaga mampu jimat perbelanjaan kerajaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (MOH) akan menikmati penjimatan besar daripada kecekapan dan kemampuan Pharmaniaga Bhd mengendalikan edaran dan logistik bekalan perubatan di negara ini.

MIDF Research berkata, terdapat peluang yang wajar bagi Pharmaniaga Bhd untuk terus mendapat konsesi kerajaan bagi mengedarkan ubat-ubatan di negara ini meskipun syarikat farmaseutikal itu dilihat memonopoli pasaran tempatan.

Ia berkata, peluang berkenaan wujud bersandarkan kepada peranan syarikat farmaseutikal itu dalam logistik dan pengedaran bekalan perubatan adalah penting kepada 148 hospital kerajaan dan 1,700 klinik di seluruh negara.

Jelasnya, perniagaan konsesi Pharmaniaga membabitkan logistik dan pengedaran 750 item di bawah senarai pembelian produk diluluskan MOH.

“Di bawah perjanjian konsesi, ia perlu menguruskan urusan tender yang membabitkan semua calon vendor. Walau bagaimanapun, ia tidak terbabit dalam pemilihan vendor kerana urusan itu dikendalikan MOH,” katanya dalam nota penyelidikan.

MIDF Research menjangkakan pesaing lain perlu mengambil sekurang-kurangnya empat tahun untuk mencapai tahap kemampuan Pharmaniaga, yang sudah membuat pelaburan besar sejak beberapa tahun lalu bagi sistem dan kemajuan proses dalam usaha memenuhi keperluan ketat perjanjian konsesi.

Firma penyelidikan itu menambah, syarikat farmaseutikal itu juga kini memberi tumpuan semula kepada perniagaan bukan konsesi dengan memperkukuhkan sinergi perniagaan antara anak syarikatnya di Indonesia bagi mengembangkan kehadirannya dalam pasaran negara itu.

“Kami jangka ia (perluasan di Indonesia) akan membantu menyokong perolehan kumpulan pada masa depan. Kami juga berpandangan bahawa kejatuhan harga sahamnya baru-baru ini menyediakan peluang untuk mengumpul saham itu.

“Tambahan pula, saham itu menawarkan dividen menarik lebih tujuh peratus berbanding syarikat lain. Dengan mempertimbangkan semua ini, kami menaikkan saranan kami kepada “beli” bagi saham ini,” katanya.

MIDF Research juga menyemak semula harga sasaran bagi saham Pharmaniaga kepada RM2.45 berbanding RM2.63 sesaham sebelum ini.

384 dibaca
Berita Harian X