Khamis, 18 April 2019 | 4:20pm
Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli. Foto BERNAMA.

RHB sasar sejuta pengguna perbankan mudah alih

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group menyasar untuk meningkatkan bilangan pengguna aktif perbankan mudah alihnya kepada sejuta orang menjelang akhir tahun menerusi pelancaran kemudahan Aplikasi Perbankan Mudah Alih RHB yang terbaharu.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Khairussaleh Ramli berkata kadar penembusan perbankan mudah alih itu telah meningkat sebanyak 250 peratus dan aplikasi RHB Now pada masa ini mempunyai seramai 570,000 pengguna aktif daripada 1.8 juta pengguna aktif perbankan internet.

“Ini fasa pertama aplikasi perbankan mudah alih baharu kami. Malah, kami akan membangunkan kod respon pantas (QR) dan menyepadukannya ke dalam aplikasi itu selepas ini kemudiannya yang sejajar dengan pelaksanaan platform pembayaran runcit masa sebenar Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet),” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran aplikasi itu di sini, hari ini.

Khairussaleh berkata, aplikasi perbankan mudah alih baharu itu juga akan saling melengkapi aplikasi RHB Now pada masa ini dan aplikasi perbankan internet walaupun bank tersebut memperuntukkan tempoh enam bulan bagi peralihan pengguna kepada aplikasi baharu itu.

Bank itu turut menyasarkan untuk memulakan perkhidmatan e-dompet yang akan disepadukan dengan aplikasi itu.

Aplikasi perbankan mudah alih itu dijangka meningkatkan lebih 80 peratus jumlah transaksi menerusi saluran digital pada 2022 berbanding 66 peratus ketika ini.

Pelanggan bank itu boleh memuat turun kemudahan aplikasi baharu itu menerusi App Store dan Google Play.

-BERNAMA

42 dibaca
Berita Harian X