Khamis, 18 April 2019 | 4:43pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes hadir pada majlis pengumuman kerjasama AirAsia dan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Sepang, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

AirAsia promosi 550 produk Malaysia

SEPANG: AirAsia mempromosikan 550 produk Malaysia menerusi tiga platform yang dimiliki pengendali penerbangan tambang rendah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes, berkata inisiatif yang dilaksanakan AirAsia menerusi tiga rangkaian jenamanya iaitu Santan, T&CO dan OURSHOP adalah untuk mengembangkan lagi produk jenama tempatan.

“Sebagai permulaan, AirAsia akan mempromosikan 550 produk menerusi pelbagai saluran dalam penerbangan ke semua destinasi.

“Jika anda tanya saya berapa banyak produk untuk kami promosikan. Jawapannya seberapa banyak yang boleh. Sama seperti pertanyaan orang pada saya ketika mula membuka AirAsia. Kini kami memiliki 250 pesawat.

“Ini adalah komitmen kami untuk menyokong kempen kerajaan iaitu Beli Barangan Malaysia’,” katanya kepada media selepas majlis pengumuman kerjasama AirAsia dan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Tony berkata, AirAsia akan bekerjasama dengan KPDNHEP untuk mendapatkan lebih ramai pengusaha dan produk tempatan bagi mengisi menu dalam penerbangan sekali gus memperkenalkan lebih banyak menu seperti mana yang dilakukan ke atas Nasi Lemak yang kini popular di seluruh dunia.

“Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia, kami memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi ASEAN terutama di Malaysia.

“Kami komited untuk menyokong sektor pekerjaan dan perniagaan tempatan. Kami berharap melalui kempen Beli Barangan Malaysia, AirAsia dapat membantu memacu perniagaan tempatan,” katanya.

Ketika ini, separuh daripada produk yang ditawarkan dalam menu Santan dan T&CO AirAsia adalah produk Malaysia termasuk Air Mineral Pendang, Kerepek Kentang BBQ T&CO dan Mi Udang Hokkien.

206 dibaca
Berita Harian X