Khamis, 18 April 2019 | 4:52pm
Albert Chai.

Cisco Systems tambah pelaburan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Cisco Systems, sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat akan meningkatkan pelaburan di Malaysia, kata Pengurus Negaranya, Albert Chai.

Katanya, ini disebabkan oleh lonjakan permintaan yang tinggi dalam teknologi serta adaptasi pendigitalan.

“Kilang kami di Pulau Pinang menjadi salah satu daripada lima hab pembuatan yang menyumbang sebahagian besar kepada angka pengeluaran pasaran global Cisco yang bernilai berbilion-bilion dolar,” katanya dalam satu taklimat media mengenai kemajuan perusahaan kecil dan sederhana Malaysia ke arah peringkat seterusnya dalam kematangan digital.

Sejak ditubuhkan pada 2005, kilang tersebut mempunyai kakitangan langsung dan tidak langsung seramai 5,000 pekerja, dengan 99 peratus terdiri daripada penduduk tempatan.

“Jumlah mereka semakin meningkat. Walaupun wujud kelembapan global dalam sektor pembuatan, kami amat optimistik bahawa prestasi kami akan terus bertambah baik disebabkan kami menghasilkan produk yang bernilai tinggi,” katanya.

Dengan tambahan pelaburan ini, Cisco akan meningkatkan barisan pengeluarannya bagi memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan dengan nilai tambahan.

“Perniagaan kami berkembang pada kadar yang kukuh dan kami yakin dapat merekodkan pertumbuhan dua angka untuk tahun kewangan 2020,” katanya lagi.

Malaysia mempunyai set kemahiran yang terbaik, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik, yang diperlukan bagi mendorong industri ke hadapan, katanya.

Sementara itu, Pengarah Wilayah Cisco ASEAN dan Pengurus Besar untuk Pengedaran serta Pemasaran Perniagaan Kecil Sederhana (SMB), Bidhan Roy berkata, berdasarkan kepada Indeks Pembuatan Digital SMB APAC yang dikeluarkan oleh Cisco, SMB di Malaysia sedang menghampiri tahap kematangan digital seterusnya, ini akan meletakkan mereka dalam liga yang sama seperti negara-negara maju di Asia Pasifik.

“Kajian itu juga mendedahkan bahawa SMB di Malaysia sedang membuat pelaburan awal dalam teknologi seperti awan (13.1 peratus), keselamatan siber (12.9 peratus) dan meningkatkan perkakasan Teknologi Maklumat (11.7 peratus),” katanya.

Beliau berkata, SMB di Malaysia membentuk 98 peratus daripada perniagaan yang sudah sedia kukuh dan bagi mereka untuk terus menjadi pemacu utama ekonomi, mereka perlu bertukar kepada pendigitalan.

“Ia juga menunjukkan bahawa hampir separuh daripada SMB ini mengetahui mengenai program-program kerajaan yang boleh menyokong transformasi digital, tetapi tidak mengambil kesempatan daripada peluang berkenaan,” kata Roy.

Kajian itu menonjolkan bahawa antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh SMB dalam transformasi digital adalah kelemahan kemahiran digital serta bakat dalam sesebuah organisasi, ketiadaan bajet dan komitmen daripada pengurusan termasuk kekurangan platform yang boleh menjayakan transformasi digital.

-BERNAMA

107 dibaca
Berita Harian X