Khamis, 18 April 2019 | 6:24pm

Astro meterai perjanjian RM1.49 bilion guna kapasiti transponder

KUALA LUMPUR: MEASAT Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MBNS), anak syarikat milik penuh Astro Malaysia Holdings Bhd, memeterai perjanjian bersama MEASAT Communication Systems Sdn Bhd (MCSSB) untuk penggunaan kapasiti transponder pada satelit MEASAT-3d (M3d) bernilai AS$360 juta (RM1.49 bilion).

Astro berkata, bayaran yang dikenakan adalah tertakluk kepada diskaun tetap dan berubah sehingga AS$18 juta.

"Tarikh permulaannya ialah 1 Februari 2022 atau tarikh yang dipersetujui bersama antara MBNS dan MCSSB," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Astro berkata, peningkatan dalam teknologi pemampatan video akan membolehkan 12 transponder pada satelit M3d, yang dijangka dilancarkan pada 2022, untuk menggantikan 18 sedia ada pada satelit M3 dan M3a.

MBNS juga memeterai perjanjian bersama MEASAT International (South Asia) Ltd (MISAL) untuk penamatan awal perjanjian antara MISAL dan MBNS pada 2018 bagi penggunaan kapasiti transponder pada satelit MEASAT-3b (M3b).

"Penamatan awal akan membolehkan MBNS menamatkan pajakan enam transponder pada satelit M3b yang tidak lagi diperlukan," katanya.

Kedua-dua MCSSB dan MISAL adalah anak syarikat Measat Global Bhd (MGB).

Astro berkata, pada masa ini MBNS menyewa 42 transponder pada satelit MEASAT untuk kapasiti transponder yang diperlukan bagi menyediakan perkhidmatan langsung ke rumah (DTH) dan akses kepada pelanggannya.

"Pajakan untuk 12 transponder di satelit M3 dan enam pada satelit M3a akan tamat masing-masing pada 22 Februari 2022 dan 20 Julai 2024.

"Selepas tamat tempoh, MBNS hanya akan menggunakan transponder pada satu satelit operasi, M3b. Perjanjian baharu ini akan membolehkan MBNS menggunakan kapasiti transponder pada satelit M3d," katanya.

213 dibaca
Berita Harian X