Jumaat, 19 April 2019 | 3:01pm
KETUA Pegawai Hasil Kumpulan Malaysia Airlines, Ignatius Ong. - Foto Aziah Azmee

Penerbangan domestik Malaysia Airlines kini lebih murah

PETALING JAYA: Malaysia Airlines menyasarkan faktor muatan penumpang meningkat sekitar 10 peratus bagi penerbangan domestik tahun ini dengan pengenalan opsyen tambang fleksibel baharunya.

Ketua Pegawai Hasil Kumpulannya, Ignatius Ong, berkata sejak opsyen tambang baharu domestik Kelas Ekonomi diperkenalkan pada 8 April lalu, Malaysia Airlines menyaksikan lonjakan dalam tempahan perjalanan domestik.

"Kami jangka faktor muatan penumpang bagi penerbangan domestik hujung tahun ini naik kepada sekurang-kurangnya 80 peratus berbanding 70 peratus ketika ini," katanya pada taklimat media mengumumkan tambang baharu domestik itu di sini, hari ini.

Ong berkata, menerusi opsyen tambang fleksible baharu itu penumpang Kelas Ekonomi bagi perjalanan domestik diberi pilihan untuk memilih kombinasi tambang dan perkhidmatan yang dipakejkan serta didatangkan dengan keistimewaan tertentu.

"Tambang fleksibel itu kini merangkumi tambang lebih murah bagi pengembara balik hari yang tidak mendaftar masuk bagasi," katanya.

Struktur tambang domestik baharu bagi Kelas Ekonomi kini terbahagi kepada tiga kategori, iaitu LITE, BASIC dan FLEX.

Bagi LITE, penumpang hanya dibenarkan membawa masuk bagasi tangan yang beratnya tidak melebihi tujuh kilogram, selain diberi hidangan makanan.

Dengan BASIC, penumpang diberi kelebihan tambahan, iaitu bagasi didaftar masuk tidak melebihi 20 kilogram, naik tarif Enrich Miles, diskaun 10 peratus untuk kanak-kanak, selain boleh membuat tempahan semula dengan dikenakan fi RM100 di campur perbezaan harga.

Bagi FLEX, penumpang akan menikmati semua kemudahan yang ada pada LITE dan BASIC, ditambah dengan kemudahan lain, iaitu boleh memilih tempat duduk, bagasi didaftar masuk tidak melebihi 25 kilogram, diskaun 15 peratus untuk kanak-kanak, boleh membuat tempahan semula dengan hanya perlu membayar perbezaan harga, boleh memilih untuk mengembara lebih awal daripada tarikh asal, tertakluk kepada kesediaan tempat duduk.

Selain opsyen baharu bagi penerbangan domestik, Malaysia Airlines juga menyemak semula opsyen bagasi untuk penerbangan antarabangsa bagi Kelas Ekonomi bagi semua destinasi kecuali Jeddah dan Madinah.

"Kami sedang menimbang untuk melanjutkan penawaran opsyen tambang fleksibel Kelas Ekonomi ini bagi destinasi ASEAN," kata Ong.

1416 dibaca
Berita Harian X