Jumaat, 19 April 2019 | 3:58pm

QSR Brands 'kunci mulut' tarikh IPO

KUALA LUMPUR: QSR Brands (M) Holdings Bhd masih lagi membisu mengenai tarikh penyenaraian baharunya selepas pemegang saham dan pengarahnya memutuskan untuk menangguhkan tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia.

Meskipun khabar angin yang mendakwa IPO itu akan dilancarkan semula dalam suku keempat 2019, Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohamed Azahari Kamil enggan mengesahkannya dengan menyatakan pengumuman akan dibuat pada masa yang sesuai.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan kepada pertumbuhan industri, potensi bagi operasi KFC dan Pizza Hut kekal memberangsangkan.

"Jadi, pelan pengembangan masih diteruskan," katanya sambil menambah syarikat itu juga akan membangunkan kiosk pembayaran digital sebagai sebahagian daripada usaha pendigitalannya.

QSR Brands merancang membuka sekurang-kurangnya 67 cawangan KFC dan 60 restoran Pizza Hut di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang, katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Diploma dalam Pengurusan Restoran oleh SEGi Group of Colleges.

Mohamed Azahari berkata, QSR Brands, SEGi dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah memeterai perjanjian tiga pihak untuk menyediakan akses pendidikan dan pekerjaan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Mengikut perjanjian itu, pelajar yang mengambil kursus diploma akan dapat menjalani latihan perindustrian selama setahun di lebih daripada 700 cawangan KFC di seluruh negara.

Selain itu, katanya, MAINPP akan mengenal pasti 500 pelajar B40 daripada 30 sekolah di Pulau Pinang untuk memberi peluang kepada mereka mengambil kursus tiga tahun, yang merupakan sebahagian daripada program Geran Akademik Kemahiran SEGi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kanan Kumpulan SEGi, Daniel Teng berkata kursus diploma berkenaan akan ditawarkan di semua kolej SEGi.

-BERNAMA

130 dibaca
Berita Harian X