Jumaat, 19 April 2019 | 4:14pm
SEPANG 12 FEBRUARI 2019. Tinjauan bangunan Malaysia Airports di KLIA, Sepang. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

MAHB berpotensi gugur daripada komponen FBM KLCI

KUALA LUMPUR: Saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berpotensi untuk digugurkan daripada menjadi komponen FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jika terus jatuh ke tangga 36 atau lebih rendah daripada itu, demikian menurut Maybank IB Research.

Saham pengendali lapangan terbang terkemuka tempatan itu jatuh 19 peratus setakat ini tahun ini dan pasaran modalnya jatuh ke kedudukan 34 berdasarkan pada penutup 18 April 2019.

Cabang penyelidikan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) itu berkata, kelemahan persekitaran pasaran dan kebimbangan yang pelbagai menyebabkan saham MAHB itu terus jatuh.

“Berdasarkan harga saham semasa pasaran ditutup pada 18 April 2019, saham MAHB jatuh dari segi kedudukan dalam permodalan pasaran ke tangga 34. Ia berada di tangga 35 bagi sebahagian besar minggu ini dan sebelumnya.

“Jika kedudukan pasarannya jatuh kepada atau jatuh di bawah tangga 36 menjelang 27 Mei ini, saham itu mungkin digugurkan daripada komponen FBM KLCI, kemungkinan diganti oleh Westports (yang berada pada tangga ke-30 pada 18 April 2019), F&N (tangga ke-31) dan YTL Corp (tangga ke-32),” kata Maybank IB Research dalam nota penyelidikannya.

Sementara itu, Maybank IB Research berkata, saham KLCCP yang digugurkan daripada komponen FBM KLCI pada semakan November 2018, kini berada pada kedudukan tinggi pada tangga ke-28 pada 18 April 2019.

Bagaimanapun, ia menjangkakan saham KLCCP masih belum memenuhi ujian kecairan untuk kembali disenaraikan semula dalam komponen indeks utama Bursa Malaysia itu.

“Masih ada masa lagi...Masih ada satu lagi bulan untuk dilalui sebelum semakan semula komponen (FBM KLCI), manakala kedudukan permodalan pasaran akan terus berubah,” katanya.

Ketika ini, Maybank IB Research memberikan saranan “Beli” kepada saham MAHB.

Komponen FBM KLCI bersedia untuk disemak semula dengan menggunakan harga saham setakat penutup 27 Mei 2019.

Maybank IB Research menjangkakan perubahan komponen indeks utama itu akan dilaksanakan selepas pasaran ditutup pada 3 Jun 2019 dan dijangka berkuat kuasa pada 24 Jun 2019.

278 dibaca
Berita Harian X