Jumaat, 19 April 2019 | 8:41pm

Maybank akhiri perjanjian kerjasama dengan Hyflux

SINGAPURA: Malayan Banking Bhd (Maybank) telah menamatkan perjanjian kerjasama yang berkaitan dengan nyahlabur loji tenaga dan air bersepadu Tuaspring (IWPP) berkuat kuasa serta merta, kata firma rawatan air Hyflux Ltd.

Firma Singapura itu hari ini mengumumkan bahawa ia telah menerima surat daripada Maybank bagi menamatkan perjanjian yang telah dimeterai dengan Hyflux serta anak syarikatnya, Tuaspring Pte Ltd pada Julai 2018.

Di bawah perjanjian tersebut, Hyflux yang menanggung banyak beban hutang serta Tuaspring Pte Ltd telah bersetuju untuk melaksanakan perjanjian dengan pembida yang berjaya/pelabur bagi penyelesaian penuh dan pelepasan jumlah keseluruhan liabiliti Maybank pada satu tarikh akhir.

Bagaimanapun, sehingga sekarang, tidak terjadi sebarang pelaksanaan perjanjian dengan pembida yang berjaya/pelabur mengikut tarikh akhir yang telah dilanjutkan sebanyak enam kali, kata Hyflux dalam satu makluman kepada Bursa Singapura.

“(Menurut Maybank,) ini merupakan satu perlanggaran yang tidak boleh ditarik balik di bawah perjanjian kerjasama itu dan ini membolehkan Maybank untuk menamatkan perjanjian kerjasama,” katanya.

Maybank merupakan satu-satunya, pembiaya IWPP milik Tuaspring dengan pendedahan dilaporkan sebanyak kira-kira S$602.4 juta.

Agensi air kebangsaan Singapura, Lembaga Utiliti Awam (PUB) pada 17 April lepas, telah mengeluarkan notis kepada Tuaspring untuk menamatkan perjanjian pembelian air dengan Hyflux, bagi melindungi keselamatan air negara berkenaan. Notis penamatan itu memberi tempoh selama 30 hari sebelum PUB mengambil alih loji penyahgaraman Tuaspring.

Hyflux sedang berusaha bagi menyusun semula hutangnya dengan liabiliti yang dilaporkan berjumlah S$ 2.95 bilion sehingga menjelang 31 Mac 2018.

Hyflux juga telah mengumumkan hari ini bahawa ia telah menerima notis daripada Maybank kepada PUB dan Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura berhubung dengan perjanjian langsung antara Tuaspring, PUB dan Maybank yang bertarikh 21 November 2013.

“Notis itu adalah berkaitan dengan satu keadaan penguatkuasaan dan pecutan matang jumlah hutang keseluruhan di bawah dokumen pembiayaan Tuaspring,” katanya.

Maybank juga telah menyatakan hasrat untuk melantik penanggung dan pengurus ke atas aset-aset Tuaspring kecuali “loji penyahgaraman dan infrastruktur yang terkait.”

Dalam interim itu, Hyflux berkata, operasi loji janakuasa di IWPP Tuaspring dijangka akan berjalan seperti biasa.

Penamatan perjanjian kerjasama ini dijangka akan mempunyai kesan yang ketara kepada prestasi kewangan kumpulan.

Menurut Hyflux lagi, ia akan membuat pengumuman yang sewajarnya dan jika terdapat apa-apa perkembangan mengenai perkara ini.

– BERNAMA

302 dibaca
Berita Harian X