Khamis, 25 April 2019 | 2:04pm

Kandungan terbitan Media Prima disedia percuma di iflix

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (Media Prima) menjalin kerjasama dengan perkhidmatan hiburan dalam talian, iflix bagi perkongsian kandungan Media Prima di iflix secara percuma.

Di bawah kerjasama itu, iflix akan memberikan kandungan siaran sejam selepas tayangan di rangkaian saluran Media Prima.

Media Prima juga menawarkan lebih daripada 1,000 jam kandungan daripada saluran tonton khusus untuk pengguna iflix bagi meningkatkan kandungan tempatan.

Perjanjian itu akan mengembangkan jangkauan digital Media Prima di seluruh Malaysia serta meningkatkan tontonan video dalam talian dengan ketara.

Tontonan bulanan video dalam talian Media Prima di semua platform digital sehingga kini adalah hampir 150 juta.

Perkongsian dengan iflix akan terus menyediakan akses mudah kepada pengguna dan membuka peluang kandungan yang lebih besar melalui ‘tier’ iflix yang disokong iklan, iflixFREE.

Perkongsian strategik ini adalah kesinambungan kerjasama sebelum ini termasuk kejayaan drama Nur 2 menerusi Primeworks Studios Media Prima.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak, berkata sejak 2018, pihaknya secara agresif telah melancarkan pelbagai kandungan popular, bagi menampung peningkatan permintaan untuk kandungan digital di kalangan pengguna.

Katanya, kemasukan tonton, platform streaming video yang paling banyak dilayari di Malaysia ke dalam iflix adalah bukti komitmen kumpulan menyediakan kandungan tempatan yang terbaik.

“Kami tidak sabar berkongsi kandungan kami dengan iflix tetapi juga untuk membangunkan dan mengurus kandungan yang terbaik.

“Strategi ini membolehkan Media Prima mengembangkan jangkauan digitalnya selaras dengan pertumbuhan pengiklanan digital,” katanya.

Sementara itu, Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif iflix, Mark Britt, berkata kerjasama itu adalah pencapaian penting bagi pihaknya dalam meningkatkan kandungan tempatan.

Berita Harian X