Selasa, 30 April 2019 | 8:32am

TM ONE lancar pusat data Lembah Klang

CYBERJAYA: TM ONE, cabang penyelesaian perniagaan sektor perusahaan dan awam Telekom Malaysia Bhd (TM), bersedia untuk memenuhi permintaan bagi perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) komprehensif menerusi Pusat Data Lembah Klang (KVDC) baharunya.

Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Azizi A Hadi, berkata pusat data canggih itu direka bagi memenuhi keperluan penstoran, perkomputeran awan dan Internet kepelbagaiguna (IoT) untuk pelanggan perniagaan dan perusahaan, serta sektor awam dalam transformasi digital masing-masing.

Kawalan keselamatan di pusat itu amat ketat dengan sembilan lapisan pemeriksaan keselamatan dan dilengkapi dengan 10 jana kuasa elektrik dan simpanan bateri bagi memastikan tidak berlaku gangguan kuasa dan komputer tidak berfungsi.

"KVDC adalah pusat data hijau dan dihubungkan dengan pelbagai penyedia telekomunikasi, yang bertindak sebagai hab serantau dalam menyediakan pengurusan perkhidmatan bernilai tinggi.

"Ini termasuk perkhidmatan pengkomputeran awan, maya dan usaha sama, serta rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi untuk memenuhi keperluan pelanggan perusahaan dan perniagaan, terutamanya di Malaysia dan rantau ASEAN," kata Azizi pada taklimat media di sini semalam.

Beliau berkata, nilai utama yang membezakan pusat itu termasuk kesalinghubungan domestik dan global tanpa sempadan bagi pelanggan berhubung dengan perkhidmatan awan, awan hibrid dan program agrigator perkomputeran awan.

Pusat itu turut menawarkan teras berkembar dan kedaulatan data global yang disahkan dengan data pelanggan disimpan dalam penstoran tempatan di Malaysia, memenuhi kedaulatan data, penghunian dan kebimbangan terhadap pematuhan. - BERNAMA

Berita Harian X