Jumaat, 3 Mei 2019 | 3:31pm
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya, Azmir Jaafar bercakap semasa persembahan Kajian Perniagaan Malaysia McDonald for 2018, Uptown Petaling Jaya. - Foto Rohanis Shukri

McDonald's Malaysia sasar jualan RM3 bilion

PETALING JAYA: McDonald’s Malaysia menyasarkan jualan RM3 bilion pada tahun ini dan merancang untuk melabur RM1.4 bilion sehingga 2025.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya, Azmir Jaafar, berkata McDonald’s Malaysia mencatatkan pertumbuhan jualan tahunan 19 peratus pada tahun lalu dan menyasarkan pertumbuhan dua angka pada setiap tahun sehingga 2025 dengan pertumbuhan minimum 15 peratus pada setiap tahun.

“2018 adalah tahun yang baik kepada McDonald’ Malaysia, yang mana kami merekodkan prestasi jualan tertinggi dalam sejarah dipacu melalui pelaburan lebih daripada RM200 juta sejak dua tahun lalu,” katanya pada media pada sesi taklimat perniagaan McDonald’s Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata, perbelanjaan modal (capex) yang diperuntukkan sejak 2016 adalah tertumpu kepada pelbagai bidang termasuk tawaran menu tempatan, segmen digital dan penerokaan komuniti.

“Kami melabur RM1.4 bilion bermula 2016 hingga 2025 dan masih memiliki kira-kira RM1 bilion untuk tahun ini dan ke seterusnya. Kami sudah melabur RM200 juta sepanjang dua tahun lalu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, McDonald’s Malaysia berhasrat untuk membuka 170 cawangan restoran baharu di seluruh negara menjelang 2025, memodelkan kembali lebih 200 restoran dan mewujudkan sebanyak 10,000 peluang kerja baharu.

Menurutnya, McDonald’s Malaysia turut merancang untuk membuka 20 buah cawangan restoran pandu lalu baharu pada tahun ini bagi melengkapkan 167 cawangan restoran pandu lalu sedia ada.

“Perniagaan pandu lalu menjadi komponen kritikal bagi strategi perniagaan McDonald’s bagi meningkatkan penguasaan di pasaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmir berkata jualan pandu lalu McDonald’s Malaysia kini menyumbang hampir 50 peratus bagi jualan keseluruhan untuk semua restorannya.

“Kami menjangkakan jualan pandu lalu ini mampu mencatatkan purata pertumbuhan sebanyak 10 peratus tahun ke tahun bagi suku pertama 2019,” katanya.

Sehingga kini, McDonald’s Malaysia memiliki 278 restoran di seluruh negara dan menyediakan perkhidmatan kepada 13.5 juta setiap bulan serta mewujudkan peluang kerja kepada 14,000 rakyat Malaysia di seluruh negara.

222 dibaca
Berita Harian X