Selasa, 7 Mei 2019 | 8:36pm
PENGARAH Urusan Warisan Gemilang Group, Nor Azuwa Hashim (empat dari kanan) bersama pereka fesyen, Jimmy Maria Dealova (tiga dari kiri) ketika memperkenalkan koleksi Kurta Larrez di Shah Alam, baru-baru ini.

Larrez, inovasi kurta kain pelekat

SHAH ALAM: Warisan Gemilang Group (Warisan Gemilang) optimis mampu mencapai sasaran jualan bagi koleksi Kurta Raya, Larrez sebanyak 2,000 unit menjelang akhir tahun ini.

Keyakinan itu disokong oleh kelainan dan keunikan yang ditampilkan dalam rekaannya dengan mengetengahkan elemen kain pelikat dalam setiap rekaannya, sekali gus mencetuskan inovasi dalam memenuhi kehendak penggemar kurta.

Pengarah Urusannya, Nor Azuwa Hashim berkata, koleksi kurta yang boleh didapati dengan jenama Larrez itu diperkenalkan sempena Aidilfitri nanti dengan menggunakan fabrik jenis kapas Osaka yang selesa dan tidak musah berkesut.

Katanya, koleksi kurta ini hanya menampilkan pilihan lima varian warna trend terkini iaitu mustard, biru, hijau, hitam dan ungu dalam memenuhi citarasa generasi muda.

“Kami yakin kurta ini akan menjadi pilihan kerana rekaannya memberikan pilihan kepada pengguna sama ada kurta cekak musang atau teluk belanga. Malah, ia ditampal dengan kain pelikat agar si pemakainya tampil lebih berkeyakinan dan bergaya.

“Kombinasi fabrik kapas Osaka dan kain pelikat bertujuan memberi tarikan baharu selain menghargai warisan Melayu iaitu kain pelekat yang kini jarang dipakai anak muda.

Potongannya pula mengikut bentuk badan dan menepati cita rasa kumpulan ini” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Larrez di sini, baru-baru ini.

Nor Azuwa berkata, butiknya berkolaborasi dengan pereka fesyen, Jimmy Maria Dealova untuk menghasilkan kurta Larrez berkenaaan.

“Kurta ini boleh digayakan di mana-mana sahaja sama ada untuk aktiviti santai dan keraian. Kami tidak mahu mengeluarkan kuantiti yang banyak ketika ini kerana ingin mencuba pasaran dahulu selain menjaga kualiti kurta yang diklasifikasikan sebagai edisi terhad,” katanya.

Beliau berkata, kurta Larrez disediakan dalam pelbagai saiz bermula S hingga XXL dan dijual pada harga RM129.

Bagi mereka yang berminat untuk membeli kurta ini atau menjadi ejen, boleh layari akaun Instagram atau Facebook Larrez.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Nor Azuwa berkata, syarikat merancang untuk mengeluarkan koleksi pakaian lelaki dan wanita seperti baju Melayu, baju kurung, jubah dan tudung menjelang akhir tahun ini.

Warisan Gemilang beroperasi sejak 10 tahun lalu dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk katering sebelum berkembang mengeluarkan pakaian kurta.

70 dibaca
Berita Harian X