Jumaat, 10 Mei 2019 | 5:59pm

OCBC akan turunkan kadar pembiayaan asas, pinjaman mulai 13 Mei

KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Bhd dan anak syarikatnya, OCBC Al-Amin Bank Bhd, akan menurunkan kadar asas (BR), kadar asas pinjaman (BLR) dan kadar pembiayaan asas (BFR) sebanyak 0.25 peratus, berkuat kuasa 13 Mei 2019.

Dalam kenyataan semalam, OCBC berkata BR akan diturunkan daripada 4.08 peratus kepada 3.83 peratus, manakala BLR dan BFR diturunkan masing-masing daripada 7.01 peratus kepada 6.76 peratus.

“Semua kadar pinjaman dan pembiayaan berasaskan BLR dan BFR, akan turun mengikut kadar yang sama.

“Begitu juga dengan semula deposit tetap konvensional dan kadar deposit Islam juga berkurangan 0.25 peratus pada hari yang sama," katanya sambil menambah bahawa kadar yang lebih rendah itu sejajar dengan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank Ong Eng Bin berkata pelaksanaan penuh penurunan kadar itu akan memberi manfaat kepada semua pelanggan OCBC Malaysia yang mempunyai pinjaman atau pembiayaan yang ditambat pada BR, BLR atau BFR. - BERNAMA

Berita Harian X