Selasa, 14 Mei 2019 | 4:46pm

Bank Muamalat turunkan BR, BFR

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd mengurangkan kadar asas (BR) dan kadar pembiayaan asas (BFR) sebanyak 25 mata asas masing-masing daripada 4.06 dan 7.06 peratus tahunan kepada 3.81 dan 6.81 peratus tahunan.

Bank itu juga berkata, kadar deposit jangka tetap (FTA) juga disemak turun sebanyak sehingga 25 mata asas.

“Ini akan berkuat kuasa kepada semua pakej pembiayaan kadar apungan yang disandarkan pada BR dan BFR,” menurut bank itu dalam kenyataan, hari ini.

Bank Muamalat berkata, perubahan berkenaan dibuat sejajar dengan keputusan Bank Negara Malaysia baru-baru ini yang menurunkan kadar dasar semalaman kepada 3.00 peratus berkuat kuasa mulai 7 Mei 2019.

Ia juga berkata, pakej pembiayaan rumah semasa bertempoh matang 30 tahun untuk pelanggan terbaik dengan tanpa tempoh pinjaman dan pembiayaan berjumlah RM350,000 akan dikenakan BR tambah 1.00 peratus bagi keseluruhan tempoh berkenaan, tertakluk kepada kadar siling 10.50 peratus serta terma dan syarat standard gadai janji bank.

-BERNAMA

Berita Harian X