Jumaat, 24 Mei 2019 | 3:26pm

AirAsia perluas tawaran laman web AirAsia.com

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd akan memperluaskan tawaran di laman web AirAsia.com dengan bukan lagi menjadi laman web pembelian tiket, malah menawarkan pengalaman melancong kepada pengguna.

Ia adalah sebahagian strategi jangka panjang AirAsia sebagai komitmennya untuk meningkatkan perniagaan teknologi digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, sebagai syarikat penerbangan keempat terbesar di Asia, syarikat perlu menukar strategi jangka masa panjang bagi membolehkannya kekal relevan.

Ini kerana katanya, industri pelancongan adalah penyumbang kedua terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sebagai sebahagian syarikat dari AirAsia, pihaknya perlu memainkan peranan yang lebih dalam perkara itu.

“Kini bukan lagi ‘Now everyone can fly’ (Semua orang boleh terbang) tetapi kami tukar kepada ‘Now everyone can travel’ (Semua orang boleh melancong). Ini kerana kami mempunyai laman web terbesar di Malaysia dan perlu menggunakan kelebihan ini sebaik mungkin selain menjadi elemen tambahan kepada pengguna.

“Kami ingin menawarkan keseluruhan pengalaman pelancongan dari tempahan pengangkutan, hotel dan penginapan serta lokasi makanan yang popular.

“Langkah ini dapat menarik lebih banyak pelanggan serta meningkatkan pendapatan kumpulan,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke Balai Berita NSTP, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid; Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Rashid Yusof dan Ketua Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohamad Asri Tuan Hussein.

Dalam kunjungannya itu, Tony bertukar pandangan dengan pengurusan NSTP dalam merangka jalinan kerjasama jangka panjang antara kedua pihak.

Berita Harian X