Selasa, 28 Mei 2019 | 2:22pm
Pengarah Urusan Chemical Company Of Malaysia (CCM), Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin dan Pengurus Kanan Kewangan CCM, Fakhrul Azman Nawi pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-57 syarikat di Kuala Lumpur. NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria.

CCM labur RM100 juta tingkat kapasiti pengeluaran

KUALA LUMPUR: Pembekal produk dan perkhidmatan sektor bahan kimia dan polimer, Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) melabur RM100 juta untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memacu pertumbuhan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin, berkata menerusi strategi transformasi yang dijalankan, CCM boleh mengembang dan mengukuhkan perniagaan bahan kimia dan polimer di samping meningkatkan kecekapan operasi.

Katanya, pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, Kilang 1 Pasir Gudang (PGW1) telah diaktifkan semula dan dijangka siap menjelang separuh kedua tahun ini.

“Dengan kapasiti sedia ada dan pengaktifan semula kilang bersebelahan, ia dijangka menjadi pemacu utama pendapatan CC selain meningkatkan jumlah kapasiti pengeluaran klor-alkali sebanyak 50 peratus setiap tahun.

“Selain itu, proses peningkatan kapasiti CCM merangkumi perniagaan Polimer yang berkembang maju selaras dengan permintaan global yang semakin meningkat bagi sarung tangan getah,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-57 CCM di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Fazila berkata walaupun prospek sarung tangan getah menunjukkan pertumbuhan positif, CCM juga berhasrat untuk mempelbagaikan portfolio produk polimer.

“Ia bertujuan memanfaatkan peluang baharu yang menarik untuk memacu pertumbuhan dan aliran hasil. Selain itu, kami juga meningkatkan kapasiti bagi larutan pencuci bagi pembentuk seramik, Kleeners yang dibekalkan kepada pengilang sarung tangan.

“Kemudahan pengeluaran Kleeners di kilang baharu kami di Bangi akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada sebanyak 10,800 tan setahun apabila ia siap sepenuhnya kelak pada separuh kedua 2020,” katanya.

CCM baru-baru ini dianugerahkan kontrak selama tiga tahun oleh PETRONAS untuk membekalkan sehingga 351,000 tan metrik soda kaustik kepada Petronas Refinery and Petrochemicals Corporation Sdn Bhd (PRP) dengan anggaran nilai kontrak sebanyak RM315.9 juta.

Pengeluaran soda kaustik adalah satu daripada penyumbang utama hasil kepada perniagaan bahan kimia CCM.

Mengulas mengenainya, Nik Fazila berkata penganugerahan kontrak berkenaan memperlihatkan keyakinan Petronas dalam keupayaan CCM sebagai peserta terkemuka dalam industri bahan kimia negara.

Berita Harian X