Jumaat, 31 Mei 2019 | 10:14am

Untung suku kedua Sunsuria melonjak

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sunsuria Bhd bagi suku kewangan kedua berakhir 31 Mac 2019 melonjak kepada RM91.57 juta daripada RM6.26 juta suku sama tahun lalu.

Perolehannya turut meningkat secara ketara kepada RM249.01 juta daripada RM67.37 juta sebelumnya, demikian menurut kenyataan syarikat itu yang difailkan di Bursa Malaysia semalam.

Penyumbang utama perolehan pada suku dikaji ialah pembangunan kediaman kumpulan seperti The Olive, Bell Suites SOHO, Monet Lily, Monet Springtime, Monet Garden dan Forum 2 SOHO.

Menurut syarikat itu, perolehan dan keuntungan sebelum cukai daripada projek pembangunan komersial kumpulan, Jasper Square yang sebelum ini disenaraikan pada asas progresif tetapi dinyatakan semula mengikut MFRS 15, turut diperakui dalam suku dikaji selepas projek itu siap dan diserahkan kepada pembeli.

“Susulan itu, perolehan dan keuntungan sebelum cukai kumpulan yang terkumpul turut menokok masing-masing kepada RM331.96 juta dan RM156.76 juta bagi tahun semasa setakat ini, berbanding masing-masing RM117.06 juta dan RM12.01 juta dalam tempoh sebelum ini,” katanya.

Walaupun terus berdepan permintaan terhadap hartanah, Sunsuria berkata kumpulan itu akan terus berhati-hati untuk pelancaran projek baharu.

Berita Harian X