Jumaat, 31 Mei 2019 | 2:28pm

Penarafan, harga sasaran saham TM dinaikkan

KUALA LUMPUR: Firma-firma penyelidikan menaikkan penarafan dan harga sasaran Telekom Malaysia Bhd (TM) selepas syarikat telekomunikasi itu menyiarkan keputusan kewangannya.

Ia menyaksikan TM mencatatkan keuntungan bersih pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019, meningkat kepada RM308.3 juta daripada RM157.2 juta yang dicatatkan tahun lalu.

MIDF Research berkata, ia menaikkan penarafan TM kepada ‘neutral’ daripada ‘jual’ sebelum ini, dengan harga sasaran disemak semula kepada RM3.54 daripada RM2.33 sebelumnya.

“Kami memuji program rasionalisasi kos kumpulan, yang telah meningkatkan margin keuntungan kumpulan, sekali gus mencatat keuntungan.

“Bagaimanapun, kami tetap bimbang terhadap keupayaan kumpulan untuk mengembangkan pendapatannya, terutama perniagaan unifi yang merupakan penyumbang utama pendapatan kumpulan,” katanya.

Affin Hwang Capital juga menaikkan penarafan TM kepada ‘beli’ daripada ‘simpan’ dengan harga sasaran pada RM4.15 daripada RM3.10.

“Walaupun unjuran pendapatan TM masih mencabar, persaingan jangka pendek masih terkawal, dan penurunan dalam unifi/churn bagi pelanggan Streamyx adalah terkawal.

“Komitmen pengurusan untuk mengurangkan kos menyumbang kepada hasil dan lebih mampan,” katanya.

Affin Hwang berkata, peningkatan kos operasi, penurunan ketara dalam purata hasil jalur lebar bagi setiap pengguna dan pertumbuhan pelanggan yang lemah adalah antara risiko yang dihadapi TM.

Pada tengah hari, saham TM naik lapan sen kepada RM3.54 dengan 35.9 juta didagangkan.

-BERNAMA

Berita Harian X