Khamis, 13 Jun 2019 | 12:34pm

Pendapatan Bermaz Auto diunjur cecah paras tertinggi

KUALA LUMPUR: Pendapatan Bermaz Auto Bhd (BAuto) dijangka mencecah paras ketinggian baharu, didorong beberapa pelancaran baharu yang menarik tahun ini.

Model Mazda CX8 akan dilancarkan pada September 2019, ditawarkan pada harga MYR180,000 hingga RM200,000 seunit.

BAuto sebelum ini mengunjurkan jualan antara 1,500 unit hingga 2,000 unit di pasaran domestik bagi model itu.

Model itu dijangka diperkenalkan di Filipina pada bulan berikutnya, dan berpotensi mendapat sambutan memberangsangkan di negara itu.

Mazda CX-8 yang dipasang secara tempatan (CKD) akan memanfaat rakan sekutu Bermaz, Mazda Malaysia Sdn Bhd dan Inokom Corp Sdn Bhd, demikian menurut penganalisis di RHB Investment Bank, Muhammad Afif Zulkaplly dan Alexander Chia, dalam satu nota hari ini.

Satu lagi model baharu, Mazda CX-30, dijangka menjadikan Malaysia pasaran debut pada November 2019.

Bagaimanapun, bank itu mengambil pendirian konservatif berhubung jangkaan jumlah jualan bagi model itu kerana persaingannya dengan model Mazda CX-5 dan Mazda CX-3 sdia ada yang mana jurang harga yang kecil antara model-model itu.

Penggantian model Mazda 3 dijangka diperkenalkan di pasaran tempatan pertengahan Julai depan, memberikan jurang jualan dua hingga tiga bulan bagi tempoh peralihan itu, katanya.

“Suku pertama 2020 berkemungkinan mendatar atau lebih lemah kerana ketiadaan Mazda 3, tetapi pendapatan suku berikut dijangka dirangsang oleh model gantian baharu itu,” katanya.

Operasi Filipina dijangka menyaksikan lebih banyak pengedar dan pelancaran model baharu itu dijangka mengurangkan kesan yang terjejas daripada akta reformasi cukai yang lebih dikenali sebagai TRAIN

Untung bersih BAuto melonjak 90 peratus kepada RM265.26 juta pada tahun kewangan berakhir 30 April 2019.

Ia berikutan jumlah jualan domestik dan marjin keuntungan kasar yang meningkat, serta sumbangan keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat sekutu, Mazda Malaysia Sdn Bhd.

BAuto, pengedar kenderaan Mazda di Malaysia dan Filipina, berkata perolehan meningkat 25 peratus tahun ke tahun kepada RM2.49 bilion berikutan permintaan kukuh didorong tempoh bebas cukai dari Jun hingga Ogos 2018 dan langkah kumpulan itu menyerap Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk tempahan yang diterima sebelum 1 September 2018.

Ia mengulangi saranan BELI ke atas saham BAuto.

Berita Harian X