Selasa, 18 Jun 2019 | 9:29pm

Serba Dinamik dapat kontrak RM251 juta

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) berjaya memperoleh kontrak operasi serta penggendalian (O&M) di Qatar bernilai RM250.62 juta serta enam kontrak lain Malaysia yang tidak diumumkan nilainya.

Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu, subsidiari milik penuhnya, Serba Dinamik International Ltd telah memeterai kontrak dengan Pavilion Qatar Engineering Co WLL untuk kerja-kerja pembaikan, baik pulih serta penyelenggaraan pam, kompresor, kotak gear dan lain-lain berkaitan peralatan berputar.

Kontrak terbabit akan berjalan selama tiga tahun, dengan opsyen lanjutan setahun.

Sementara itu, satu lagi unit SDHB, Serba Dinamik Sdn Bhd (SDSB), telah memperolehi satu kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dan lima O&M tanpa sebarang nilai yang jelas.

Kontrak EPCC itu telah diberikan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) manakala kontrak O&M dianugerahkan oleh Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd, Malaysia Refining Company Sdn Bhd, Malaysia LNG Sdn Bhd, Kebabangan Petroleum Operating Company Sdn Bhd dan PC Myanmar (Hong Kong) Ltd.

"Kontrak O&M (yang dimenangi SDSB) tidak mempunyai sebarang nilai yang jelas kerana kontrak itu didasarkan kepada panggilan kerja, di mana arahan kerja akan diberi mengikut budi bicara pelanggan berdasarkan kepada jadual aktiviti dan kadar sepanjang tempoh kontrak berjalan," kata SDHB.

Kontrak tersebut dijangka akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019. - BERNAMA

1178 dibaca
Berita Harian X