Khamis, 27 Jun 2019 | 6:03pm
YOKE Heng (kiri) menyerahkan sijil Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) kepada Hong Chew sempena Perasmian Snow Village di i-City, Shah Alam. STR/Faiz Anuar.

i-City terima sijil MyTQA sebagai pusat pelancongan pada piawaian terbaik

Photo Faiz Anuar

SHAH ALAM: Bandar pintar i-City menerima sijil Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) sebagai pusat pelancongan yang memberi perkhidmatan pelancongan pada piawaian terbaik.

Pengiktirafan MyTQA itu dinilai berdasarkan tujuh kriteria antaranya aspek keselamatan, fasiliti, kebersihan, daya tarikan, amalan lestari, kakitangan yang cekap dan mempunyai laman web menarik.

Sijil itu disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Yean Yoke Heng kepada Timbalan Pengerusi Eksekutif I-Bhd, Eu Hong Chew di i-City di sini, hari ini.

Terdahulu, Yoke Heng dalam ucapannya berkata, i-City menjadi produk pelancongan ke-39 di negara ini yang menerima pengiktirafan MyTQA.

"Kerajaan yakin i-City akan terus berkembang menjadi destinasi pelancongan utama yang menerima pengunjung dari dalam dan luar negara.

"Selain tarikan seperti Red Carpet 2, Snow Village dan pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan, i-City turut tersenarai antara lokasi paling bercahaya dan berwarna-warni di dunia oleh CNN Travel.

"Kerajaan yakin i-City akan menjadi antara produk utama pelancongan negara, sekali gus mencapai sasaran sebanyak 30 juta pelancong dengan jumlah pendapatan sebanyak RM100 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2020," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, produk pelancongan yang menerima sijil MyTQA berpeluang menyertai kursus latihan kualiti perkhidmatan dan misi perdagangan luar negara anjuran Tourism Malaysia serta memohon Tabung Pinjaman Pelancongan.

Sementara itu, Hong Chew berkata, i-City berada di kedudukan strategik dan berada dalam pusat segitiga emas Selangor yang berpotensi untuk dipertingkatkan.

"Kita yakin sektor pelancongan bakal terus menjadi peneraju dalam pendapatan negara selain permintaan berterusan bagi pemilikan hartanah.

"Pembangunan pesat di i-City yang kini menempatkan pusat beli-belah dengan keluasan 940,000 kaki persegi, Central i-City, mampu menjadi nadi segi tiga emas di Selangor," katanya.

Berita Harian X