Khamis, 4 Julai 2019 | 9:36pm

UEMS Solutions raih kontrak perkhidmatan sokongan hospital Singapura

KUALA LUMPUR: Anak syarikat UEM Edgenta Bhd, UEMS Solutions Pte Ltd meraih kontrak bernilai antara RM429.96 juta dan RM540.06 juta bagi penyediaan perkhidmatan sokongan hospital di Singapura.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, UEM Edgenta berkata, anak syarikat yang dimiliki sebanyak 97.46 peratus itu akan menyediakan antara lain perkhidmatan mengemas dan angkat barang kepada hospital yang disusun semula oleh Kementerian Kesihatan Singapura.

Nilai akhir kontrak itu tertakluk kepada sumber tenaga manusia sebenar digunakan, menurut UEM Edgenta.

Tempoh kontrak itu dari tiga hingga lima tahun, dengan pilihan lanjutan dua hingga lima tahun lagi. Tarikh kuat kuasa antara 1 April dan 1 Ogos tahun ini.

Katanya kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham.- BERNAMA

Berita Harian X